Friday, October 01, 2010

Oktober Datang Lagi

Hidup ini adalah medan segala kemungkinan, penuh dengan ketidakpastian. Oktober datang lagi. Banyak perkara-perkara yang kita andaikan setahun yang lalu atau sebulan yang lalu untuk terjadi pada bulan ini tidak juga jadi kenyataan. Hati resah, minda serabut, banyak kekusutan tidak terurai. Rutin harian semakin sibuk, berkejaran di serata pelusuk mencari pemangkin untuk memuaskan keinginan. 

Pernahkah kita berhenti sejenak menanyakan beberapa soalan kepada diri sendiri? Apa yang aku sibukkan seharian? Apa yang aku cari dan kejar sebenarnya? Apakah sebenar-benarnya keinginan aku? Setiap orang mempunyai jawapan masing-masing. Tidak ada jawapan yang salah, kerana hanya kita yang tahu tentang diri kita.

Tetapi jika jawapan kita berkisar sekitar pencapaian material jika dibandingkan dengan si polan si polan, maka kita punyai masalah yang tiada penghujung. Pencarian erti hidup begitu, tidak akan ada noktah. Kedamaian yang didambakan akan menyimpang dari singgah di hati kita. Hidup akan diselubungi perasaan bercampur-baur, rasa bebanan tanggungjawab, rasa mesti menegakkan hak, rasa bersalah, bongkak, tamak, berebut-rebut, semua orang tidak bertimbang rasa, rasa hanya kita yang betul, anak-anak kucar-kacir dan berbagai-bagai lagi yang menipiskan daya tahan diri. Bersamanya akan muncul banyak penyakit, rambut gugur, lutut lengoh, mata kelabu, darah tinggi, gaot dan segala macam masalah fizikal.

Andainya, material yang dikejar memberi pulangan mewah dan berbaloi, itulah modal kita untuk menangani masalah susulan yang timbul. Tetapi bagaimana pula jika hasil kejaran kita sekadar untuk teruskan hidup? Pulangannya tidak mampu untuk kita membiayai kos-kos yang mungkin muncul dari kemudaratan fizikal. Anak-anak terbiar dengan haluan masing-masing atau pun terjebak dengan fenomena keruntuhan sosial tanpa berupaya kita beri perhatian. Namun kita harus terima hakikat bahawa hidup ini penuh dengan segala kemungkinan dan jangan sekali-kali mempersoalkan ketentuan Tuhan. Why me?

Semalam adalah kenangan, besok adalah impian dan hari ini adalah anugerah!

Hargailah hari ini, kerana hanya hari ini kita mampu berbuat yang terbaik, bukan semalam dan bukan besok. Kita hanya mampu menggerakkan sesuatu hari ini, semalam dan esok hanya dalam bayangan.

Bagaimana kita mententeramkan hati dan minda untuk menerima seadanya?

Kita sambung lagi kemudian....

Click, if you like to Think In English.

Salam.

Monday, September 27, 2010

Cinta Johan (2) 6

Kita, penghuni masa yang penuh kebahagiaan ini, akan menyaksikan gelapnya makam kebencian dan kesedihan, diganti dengan fajar kecintaan. Kita sedang menyaksikan bangunnya cinta dan kasih. Jangan dikira hal ini sebagai sesuatu optimistik yang melampau atau berlebihan, bukti dari pengetahuan akan hakikat yang pasti bersinar terang andainya cinta mula berdetik di hati! Jangan biarkan hiruk-pikuk politik negara, kekalutan masyarakat dan kekeliruan keluarga mengelabui kita untuk tidak melihat hakikat itu. Kehidupan akan maju, tidak akan mundur. Ia akan berkembang, tidak layu. Cinta menongkah segala halangan.
Cuba perhatikan fenomena-fenomena yang berlaku dalam hidup kita selama ini. Kita akan dapati bahawa cinta adalah asas kepada setiap perkembangan kehidupan yang maju.
  • Ingin bertemu wanita/lelaki yang dicintai, kita akan berpakaian terbaik dengan wangian dan solekan.
  • Mahu diziarahi sahabat yang dicintai, kita akan menghias rumah bagaikan menyambut raja.
  • Mencintai pekerjaan, kita akan tekun dan bersungguh-sungguh.
  • Mencintai isteri, kita akan menjaga hati, membelai dan tidak curang.
  • Mencintai undang-undang, kita hormati dan mematuhinya.
  • Mencintai guru, kita akan mengamal ajarannya.
  • Mencintai negara, kita tidak akan pernah terfikir mahu mengkhianati atau memberontak.
  • Mencintai kehidupan, tidak akan ada dalam kotak fikiran untuk mensia-siakan begitu saja.

Ramadhan & Syawal

Berlalu sudah Ramadhan 1431 Hijrah dan Syawal pula berada di penghujungnya. Berpuasa rukun sudah dan beraya Aidilfitri pula mula suram kemeriahannya. Aku lenyap dari alam cyber sejak 8hb Ogos, 2 hari sebelum bermulanya Ramadhan kononnya ingin menumpukan aktiviti kepada keagamaan. Berniat mengurangkan tumpuan kepada duniawi dan mahu mendambakan masa kepada Tuhan. Suci sungguh niatku...
Apakan daya, aku hanya manusia biasa.. Tekanan dan tuntutan hidup duniawi menghambatku hingga ke dalam masjid. Mendesak agar aku lupakan niat dan hasrat melebihkan akhirat. Kekalutan hidup makin menjadi-jadi di bulan Ramadhan. Adakah itu cuma dugaan Tuhan? Atau aku sendiri yang mencipta dan menjemputnya tanpa sedar?
Niat suciku hanya tinggal niat, dinodai oleh hati dan minda yang berkonflik tentang yang mana satu keutamaan hidup. Hati mahu meneruskan niat, namun minda membentangkan alasan-alasan logik dan berasas agar aku menukar hasrat.
  • (Minda)
  • Tuntutan duniawi lebih penting kerana tanpa pengukuhan duniawi, akhirat tidak mungkin mampu dicapai."
  • (Hati)
  • Duniawi ini cuma sementara, ketakwaan kepada Allah adalah lebih tinggi dari segala nikmat dunia ini.
  • (Minda)
  • Mana mungkin dapat bertakwa andainya hidup kita bagai manusia melarat. Sesungguhnya, kekayaan duniawi berupaya meninggikan ketakwaan kita.
  • (Hati)
  • Kita perlu berserah sepenuhnya kepada Allah dan menerima ketentuannya, barulah ketakwaan kita kukuh. Kita bukannya akan menongkat langit di dunia ini selamanya, akhirat adalah abadi. Jangan pula kita leka dengan duniawi yang seketika ini dan melalaikan tujuan asal kehidupan, iaitu persediaan untuk keabadian di akhirat.
  • (Minda)
  • Ya, aku tahu! Tetapi penciptaan kita di atas muka bumi ini bukan untuk hidup tersiksa semata-mata mahu mengabdikan diri pada Allah. Allah tu kan Maha Penyayang serta Maha Adil. Setiap yang terjadi adalah yang terbaik untuk kita. Alam yang terbentang, kemewahan, keseronokan dan kebahagiaan di dunia ini adalah untuk siapa kalau bukan untuk kita?
  • (Hati)
  • Hai Minda! Janganlah kau tertipu dengan kehidupan duniawi. Jangan sekali-kali kau tergoda dengan kemewahan dan kesenangan dunia yang akan mengelabui pertimbangan waras. Marilah kita kembali kepada niat asal, lebihkan ibadat di bulan Ramadhan ini dan terus berdoa agar kita dilindungi dari azab api neraka Jahannam.
  • (Minda)
  • Kamu silap Hati. Dunia tidak pernah menipu kita, malah kita yang sering menipu kita sendiri. Kita mengatakan kemewahan dan kesenangan dunia akan melalaikan kita dari Allah. Sebenarnya itu adalah satu penipuan besar kepada diri kita dan kehidupan, kerana kebenaran adalah sebaliknya.
  • (Hati)
  • Kau jangan nak mengada-adakan cerita Minda. Apakah kebenaranya?
  • (Minda)
  • Ini adalah fakta dari al-Quran dan Hadith. Sesungguhnya, kemiskinan itu akan menghampirkan kita kepada kekufuran, bukan kekayaan.
  • (Hati)
  • Suka kau lah Minda, aku ikut aje...