Saturday, July 11, 2009

Cinta Johan 11

Keistimewaan cinta paling utama adalah kemampuan membuat orang lain percaya dan merasa tenang dengan diri kita. Cinta kita kepada orang lain tidak akan sia-sia kerana lambat laun cinta kita akan dipercayai dan disenangi. Harungilah kehidupan dengan cinta bersama jiwa yang agung. Setelah kita menyedari itu semua, bagaimana kita mahu menjadi orang yang penuh dengan cinta? Cintailah jiran tetangga mu, cintailah saudara-saudara mu, cintailah kedua orang tua mu, cintailah alam. Semuanya benar belaka. Namun yang paling utama dan penting ialah “Cintailah diri sendiri!” Cinta selamanya, sedalamnya dan sebenar-benarnya. Jika kita tidak mampu mencintai diri sendiri, mana mungkin kita mampu mencintai dan dicintai orang lain. Orang yang mencintai dirinya akan mencintai dan dicintai kawan-kawannya. Benarlah kata Plato, “Persahabatan yang paling sukar dan paling berat dijalin oleh seseorang adalah persahabatan dengan dirinya sendiri.” Amatlah malang jika kita menganggap cinta kepada diri sendiri itu adalah ego dari perspektif wang dan harta benda. Ianya adalah satu kezaliman pada diri sendiri.

Monday, July 06, 2009

Cinta Johan 10

Jika kita mencintai manusia dengan benar, mereka tidak sekali-kali akan membalas dengan kebencian. Kekadang ada juga perkara sebaliknya berlaku, tetapi kemudiannya mereka akan kembali dengan membawa hati penuh cinta. Ini adalah kerana orang yang membenci orang yang mencintainya hanyalah terdorong oleh perasaan bahawa dirinya lebih istimewa. Cinta kita dibalas dengan kebencian. Kita ingin mengangkat darjat mereka, tetapi mereka sengaja terperuk dalam kerendahan dan kehinaan. Mereka bersikap seperti beberapa umat Nabi terdahulu yang mengatakan, “Keluarkanlah mereka (Nabi dan pengikutnya) dari kampung kalian, kerana mereka asyik menyucikan diri!” Ingatlah bahawa, ketinggian moral akan melindungi diri. Dengan itu, orang yang membenci orang yang mencintai mereka akan segera mengetahui kekeliruan sikapnya dan akan segera berlari menghampiri orang yang mencintai mereka. Hasilnya mereka akan mendapat kembali suasana penuh kedamaian dan ketenangan.