Sunday, August 08, 2010

Harijadiku

Semalam 7 Ogos 2010 adalah harijadiku yang ke sekian kalinya. Penghitungan dan keraiannya bagiku sudah tiada makna lagi, mungkin kerana telah jemu... Acap tahun aku melalui hari di harijadi ini bersama orang yang sama. Maka pada tahun ini sesuatu yang baru ingin ku tempuhi.
Aku bersarapan dengan seorang sahabat yang baru muncul dalam hidupku. Aku bahagia dengan tingkahlakunya yang natural dan mencuit hati. Ketika bersamanya, kenangan ku terimbau kembali ke zaman remajaku yang penuh dengan keceriaan dan tanpa risau. Aku merinduinya....
Namun aku sedar, masakini, sesungguhnya aku telah sampai ke selekoh yang terakhir dalam perjalanan hidup sementara dunia sebelum menuju ke kehidupan abadi. Andai masa bisa diundurkan, akan ku pulang ke usia sahabatku ini. Namun sahabatku menginginkan masa depan! Biarlah dia melalui pengalamannya sendiri tanpa perlu aku merompaknya dengan nasihat-nasihat yang mungkin tidak dialu-alukan.
Sudah menjadi lumrah manusia, mengingin dan mendambakan apa yang belum ada lalu mengabaikan apa yang ada digenggaman. Sering mahu menjadi tuhan, mahu segalanya di sekeliling memenuhi keinginan benak naluri. Jika alam tidak berfungsi memenuhi kehendak, maka semuanya salah. Hairan kenapa hidup susah, tertekan, orang lain tidak memahami, sudah ditakdirkan dan tanpa sedar menyalahkan Tuhan.
Hari di harijadiku pun berlalu, menghadapinya dengan pasrah. Sahabat baruku membuat aku bahagia, namun ada juga sahabat-sahabat lama yang mencuit emosi ku. Di penghujung malam aku juga menerima berita sedih tentang seorang sahabat lamaku yang suatu ketika dulu amat rapat denganku. Namun keyakinanku hanya pada Allah, Dia Maha Penyayang dan Maha Adil, tiada sesuatu yang diizinkan berlaku tanpa hikmah kebaikanNya. Dengan itu, aku akhiri dengan kenyataan yang sering ku ucap di manasaja....
SETIAP YANG BERLAKU ADALAH PERKARA TERBAIK SEPATUTNYA BERLAKU, ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MEMBEBANKAN HAMBANYA DENGAN BEBANAN YANG TIDAK MAMPU DITANGGUNGI.