Saturday, June 13, 2009

Cinta Johan 6

Kita, penghuni masa yang penuh kebahagiaan ini, akan menyaksikan gelapnya makam kebencian dan diganti fajar kecintaan. Kita sedang menyaksikan bangunnya cinta dan kasih. Jangan dikira hal ini sebagai sesuatu optimistik yang melampau atau berlebihan, bukti dari pengetahuan akan hakikat yang pasti bersinar terang andainya cinta mula berdetik di hati! Jangan biarkan hiruk pikuk politik mengelabui kita untuk tidak melihat hakikat itu. Kehidupan akan maju, tidak akan mundur. Ia akan berkembang, tidak layu. Cinta menongkah segala halangan.
Cuba perhatikan fenomena-fenomena yang berlaku dalam hidup kita selama ini. Kita akan dapati bahawa cinta adalah asas kepada setiap perkembangan kehidupan yang maju.
• Ingin bertemu wanita/lelaki yang dicintai, kita akan berpakaian terbaik dengan wangian dan solekan.
• Mahu diziarahi sahabat yang dicintai, kita akan menghias rumah bagaikan menyambut raja.
• Mencintai pekerjaan, kita akan tekun dan bersungguh-sungguh.
• Mencintai isteri, kita akan menjaga hati, membelai dan tidak curang.
• Mencintai undang-undang, kita hormati dan mematuhinya.
• Mencintai guru, kita akan mengamal ajarannya.
• Mencintai negara, kita tidak akan pernah terfikir mahu mengkhianati atau memberontak.
• Mencintai kehidupan, tidak akan ada dalam kotak fikiran untuk mensia-siakan begitu saja.

Wednesday, June 10, 2009

Cinta Johan 5

Manusia tahu dengan jelas bahawa cinta adalah jatidirinya dan inti kepada kewujudan sebagai makhluk berasal dari tanah. Manusia diciptakan untuk mencintai dan dicintai, menyatu dan disatukan. Manusia juga tahu dengan terang bahawa kebencian bukanlah api yang akan membakar ketentuan nasibnya, melainkan mematangkan bakat dan membuka potensi meletakkan cinta di persada yang betul. Manusia terus melangkah memperkayakan spiritual dengan hubungan-hubungan yang mendekatkan cinta sambil menjauhi benci. Bumi yang disirami darah korban kebencian ditanami bunga-bunga cinta. Timbunan mayat-mayat para syuhada telah mengangkat manusia dari lumpur kebencian dan menjauhkannya dari kubang kebiadaban. Semua pengalaman pahit manusia yang dijilat api kebencian, dengan cinta berubah menjadi kekuatan yang handal dan garis hidup yang terang. Segala perubahan itu terlukis dalam dokumen kekal yang mendeklarasikan kehebatan cinta sehingga makin dekatnya kerajaan cinta dalam semua kehidupan. Manusia telah kenal kebenaran dan mula membuka mata dan mengakui bahawa cinta adalah nilai yang paling berharga dalam hidupnya. Maka di kala itu, ia tahu bahawa agama, tanahair, warna kulit, keturunan atau apa jua di dunia ini tidak dapat menyingkirkan cinta.
Muhyiddin ibn Al-Arabi mengungkapkan syair tentang hakikat cinta,
Sebelum hari ini, aku mengingkari kebenaran sahabatku
Kerana tidak ada yang dapat mendekatkan agamaku dengan agamanya
Kini, hatiku telah dapat menerima semua bentuk
Menjadi padang gembala bagi rusa
Asrama bagi para pendeta
Rumah bagi semua berhala
Kaabah bagi orang yang tawaf
Lembaran-lembaran Taurat dan mushaf Al-Quran
Aku sekarang memeluk agama cinta
Ke mana pun arah yang ditempuhnya
Cinta adalah agamaku dan keimananku.
(Hayatilah juga bait lirik lagu Laskar Cinta dari Dewa 19)

Monday, June 08, 2009

Cinta Johan 4

Sesungguhnya, jiwa manusia punyai potensi untuk menimbulkan keluhuran naluri terhadap cinta, biar sekeras manapun kebencian melekat di hati mereka. Itulah sahaja potensi yang dapat melembut dan membendung kebencian. Cinta adalah fitrah dari Allah untuk setiap makhluk ciptaannya, baik yang bernyawa atau tidak. Cinta mampu menjadikan segala sesuatu sebagai sebab untuk bergantung, berharap dan akhirnya menyucikan.
Masa lalu, manusia bergantung harap kehidupan kepada bumi. Cinta mengikatnya sebagai jalan untuk meneruskan hidup dan majukan diri dan jiwa yang kasih. Cinta nampak sebagai hukum yang mengatur hubungan keluarga, mengikat suami dan isteri, ibubapa dan anak-anak, cucu-cucu dan jiran tetangga. Cinta juga mengikat kehidupan bermasyarakat, memainkan peranan sebagai pemangkin kesepakatan kampung, pekan, kota, daerah, negeri dan negara.
Cinta mencanangkan kewujudan harmoni manusia dan meluaskan jangkauan hikmahnya. Dia menutupi kebencian yang membusuk. Cinta perlukan perjuangan. Cinta adalah hukum sebenar-benarnya bagi meneruskan kewujudan alam ini.
Benar! Allah menciptakan alam ini atas dasar harmoni, cuma manusia diberi kebebasan memilih – tidak kepada makhluk lain yang tetap akur dengan hukum keharmonian itu. Tenaga graviti menjadi tiang kepada alam ini. Matahari, bulan, planet, bintang dan galeksi mengikat persefahaman yang harmoni agar saling berpautan membantu pergerakan. Bahkan masing-masing mempunyai karekteristik yang berbeza-beza – disatukan oleh daya tersembunyi sehinggakan mereka bekerjasama seakan-akan satu kesatuan dan bukan lawan melawan saling berhentakan.

Sunday, June 07, 2009

Cinta Johan 3

Selamat tinggal ‘benci’!
Ada kenyataan dan pertanyaan yang sering mengusik jiwa, “Allah telah menjadikan alam ini atas dasar harmoni. Jadi mengapa manusia punyai rasa saling membenci?”
Pada zaman awal kewujudan manusia, Habil dan Qabil telah berbunuhan kerana berebut wanita dan kurban salah seorang darinya tidak diterima Allah. Sejak dari situlah kegelisahan timbul dalam hati manusia. Maka muncullah rasa benci yang melenyapkan rasa cinta dalam sanubari manusia. Keresahan menusuk jiwa dan nilai kehidupan yang paling berharga mula hilang. Kehidupan mula meniti di atas bara benci. Maka, dari sanalah juga bermulanya pengorbanan-pengorbanan dari insan mulia mencari cinta agar dapat menenangkan jiwa dan hidup dengan rasa aman. Pengorbanan mencari cinta ini adalah pengorbanan mencari ‘hukum’ yang mengatur perjalanan kewujudan kehidupan agar menjamin kelansungan hasrat manusia yang hakiki.
Melalui putaran perjalanan masa yang sangat panjang, para Rasul, para Nabi, para Ulamak dan para penggerak pembaharuan mendendangkan lagu cinta dari dasar sanubari manusia. Mereka menjelajah menyingkap misteri sambil mencari hukum yang boleh mengatur kehidupan umat manusia agar menjadi lebih bermakna dalam perjalanan menuju dunia seterusnya. Realiti, bumi telah dilumuri darah manusia akibat hilangnya rasa cinta. Mereka dibunuh oleh kebencian yang mengembeleng seluruh kekuatannya. Kebencian telah musnahkan mereka sebelum sempat kebencian dibendungi. Setiap kali berita tentang bendera cinta mahu dikibar, maka dengan gah panji-panji kebencian dipacakkan dahulu. Warisan kehidupan rimba dengan suara-suara lantang menguasai bumi. Bagi mereka, cinta adalah sisi lemah manusia. Untuk terus hidup dan berkuasa, kekuatan lengan dan ketajaman taring adalah faktornya. Mereka dibajai api kebencian, egoism dan kesombongan. Umat manusia pun bercerai berai dan tenggelam dalam lumpur kebencian generasi ke generasi. Berlarutan dalam tempoh yang panjang sehingga tidak terhitung lagi jumlah korban akibat rasa benci. Kesempatan demi kesempatan digunakan oleh rasa benci untuk memusnahkan jiwa manusia. Akibatnya, semua hubungan saling memahami dan persaudaraan hilang begitu saja.