Friday, October 01, 2010

Oktober Datang Lagi

Hidup ini adalah medan segala kemungkinan, penuh dengan ketidakpastian. Oktober datang lagi. Banyak perkara-perkara yang kita andaikan setahun yang lalu atau sebulan yang lalu untuk terjadi pada bulan ini tidak juga jadi kenyataan. Hati resah, minda serabut, banyak kekusutan tidak terurai. Rutin harian semakin sibuk, berkejaran di serata pelusuk mencari pemangkin untuk memuaskan keinginan. 

Pernahkah kita berhenti sejenak menanyakan beberapa soalan kepada diri sendiri? Apa yang aku sibukkan seharian? Apa yang aku cari dan kejar sebenarnya? Apakah sebenar-benarnya keinginan aku? Setiap orang mempunyai jawapan masing-masing. Tidak ada jawapan yang salah, kerana hanya kita yang tahu tentang diri kita.

Tetapi jika jawapan kita berkisar sekitar pencapaian material jika dibandingkan dengan si polan si polan, maka kita punyai masalah yang tiada penghujung. Pencarian erti hidup begitu, tidak akan ada noktah. Kedamaian yang didambakan akan menyimpang dari singgah di hati kita. Hidup akan diselubungi perasaan bercampur-baur, rasa bebanan tanggungjawab, rasa mesti menegakkan hak, rasa bersalah, bongkak, tamak, berebut-rebut, semua orang tidak bertimbang rasa, rasa hanya kita yang betul, anak-anak kucar-kacir dan berbagai-bagai lagi yang menipiskan daya tahan diri. Bersamanya akan muncul banyak penyakit, rambut gugur, lutut lengoh, mata kelabu, darah tinggi, gaot dan segala macam masalah fizikal.

Andainya, material yang dikejar memberi pulangan mewah dan berbaloi, itulah modal kita untuk menangani masalah susulan yang timbul. Tetapi bagaimana pula jika hasil kejaran kita sekadar untuk teruskan hidup? Pulangannya tidak mampu untuk kita membiayai kos-kos yang mungkin muncul dari kemudaratan fizikal. Anak-anak terbiar dengan haluan masing-masing atau pun terjebak dengan fenomena keruntuhan sosial tanpa berupaya kita beri perhatian. Namun kita harus terima hakikat bahawa hidup ini penuh dengan segala kemungkinan dan jangan sekali-kali mempersoalkan ketentuan Tuhan. Why me?

Semalam adalah kenangan, besok adalah impian dan hari ini adalah anugerah!

Hargailah hari ini, kerana hanya hari ini kita mampu berbuat yang terbaik, bukan semalam dan bukan besok. Kita hanya mampu menggerakkan sesuatu hari ini, semalam dan esok hanya dalam bayangan.

Bagaimana kita mententeramkan hati dan minda untuk menerima seadanya?

Kita sambung lagi kemudian....

Click, if you like to Think In English.

Salam.

No comments:

Post a Comment

Amat menghargai pandangan anda..