Thursday, August 05, 2010

Cinta Johan (2) 5

Manusia tahu dengan jelas bahawa cinta adalah jatidirinya dan inti kepada kewujudan sebagai makhluk berasal dari tanah. Manusia diciptakan untuk mencintai dan dicintai, menyatu dan disatukan. Manusia juga tahu dengan terang bahawa kebencian bukanlah api yang akan membakar ketentuan nasibnya, melainkan mematangkan bakat dan membuka potensi meletakkan cinta di persada yang betul. Manusia terus melangkah memperkayakan spiritual dengan hubungan-hubungan yang mendekatkan cinta sambil menjauhi benci.
Bumi yang disirami darah korban kebencian ditanami bunga-bunga cinta. Timbunan mayat-mayat para syuhada telah mengangkat manusia dari lumpur kebencian dan menjauhkannya dari kubang kebiadaban. Semua pengalaman pahit manusia yang dijilat api kebencian, dengan cinta berubah menjadi kekuatan yang handal dan garis hidup yang terang. Segala perubahan itu terlukis dalam dokumen kekal yang mendeklarasikan kehebatan cinta sehingga makin dekatnya kerajaan cinta dalam semua kehidupan. Manusia telah kenal kebenaran dan mula membuka mata dan mengakui bahawa cinta adalah nilai yang paling berharga dalam hidupnya. Maka di kala itu, ia tahu bahawa agama, tanahair, warna kulit, keturunan atau apa jua di dunia ini tidak dapat menyingkirkan cinta.
Muhyiddin ibn Al-Arabi mengungkapkan syair tentang hakikat cinta,
Sebelum hari ini, aku mengingkari kebenaran sahabatku
Kerana tidak ada yang dapat mendekatkan agamaku dengan agamanya
Kini, hatiku telah dapat menerima semua bentuk
Menjadi padang gembala bagi rusa
Asrama bagi para pendeta
Rumah bagi semua berhala
Kaabah bagi orang yang tawaf
Lembaran-lembaran Taurat dan mushaf Al-Quran
Aku sekarang memeluk agama cinta
Ke mana pun arah yang ditempuhnya
Cinta adalah agamaku dan keimananku.
(Hayatilah juga bait lirik lagu Laskar Cinta dari Dewa 19)

Tuesday, August 03, 2010

Cinta Johan (2) 4

Sesungguhnya, jiwa manusia punyai potensi untuk menimbulkan keluhuran naluri terhadap cinta, biar sekeras manapun kebencian melekat di hati mereka. Itulah sahaja potensi yang dapat melembut dan membendung kebencian. Cinta adalah fitrah dari Allah untuk setiap makhluk ciptaannya, baik yang bernyawa atau tidak. Cinta mampu menjadikan segala sesuatu sebagai sebab untuk bergantung, berharap dan akhirnya menyucikan.
Masa lalu, manusia bergantung harap kehidupan kepada bumi. Cinta mengikatnya sebagai jalan untuk meneruskan hidup dan majukan diri dan jiwa yang kasih. Cinta nampak sebagai hukum yang mengatur hubungan keluarga, mengikat suami dan isteri, ibubapa dan anak-anak, cucu-cucu dan jiran tetangga. Cinta juga mengikat kehidupan bermasyarakat, memainkan peranan sebagai pemangkin kesepakatan kampung, pekan, kota, daerah, negeri dan negara.
Cinta mencanangkan kewujudan harmoni manusia dan meluaskan jangkauan hikmahnya. Dia menutupi kebencian yang membusuk. Cinta perlukan perjuangan. Cinta adalah hukum sebenar-benarnya bagi meneruskan kewujudan alam ini.
Benar! Allah menciptakan alam ini atas dasar harmoni, cuma manusia diberi kebebasan memilih – tidak kepada makhluk lain yang tetap akur dengan hukum keharmonian itu. Tenaga graviti menjadi tiang kepada alam ini. Matahari, bulan, planet, bintang dan galeksi mengikat persefahaman yang harmoni agar saling berpautan membantu pergerakan. Bahkan masing-masing mempunyai karekteristik yang berbeza-beza – disatukan oleh daya tersembunyi sehinggakan mereka bekerjasama seakan-akan satu kesatuan dan bukan lawan melawan saling berhentakan.

Monday, August 02, 2010

Cinta Johan (2) 3

Selamat tinggal ‘benci’!
Ada kenyataan dan pertanyaan yang sering mengusik jiwa, “Allah telah menjadikan alam ini atas dasar harmoni. Jadi mengapa manusia punyai rasa saling membenci?”
Pada zaman awal kewujudan manusia, Habil dan Qabil telah berbunuhan kerana berebut wanita dan kurban salah seorang darinya tidak diterima Allah. Sejak dari situlah kegelisahan timbul dalam hati manusia. Maka muncullah rasa benci yang melenyapkan rasa cinta dalam sanubari manusia. Keresahan menusuk jiwa dan nilai kehidupan yang paling berharga mula hilang. Kehidupan mula meniti di atas bara benci. Maka, dari sanalah juga bermulanya pengorbanan-pengorbanan dari insan mulia mencari cinta agar dapat menenangkan jiwa dan hidup dengan rasa aman. Pengorbanan mencari cinta ini adalah pengorbanan mencari ‘hukum’ yang mengatur perjalanan kewujudan kehidupan agar menjamin kelansungan hasrat manusia yang hakiki.
Melalui putaran perjalanan masa yang sangat panjang, para Rasul, para Nabi, para Ulamak dan para penggerak pembaharuan mendendangkan lagu cinta dari dasar sanubari manusia. Mereka menjelajah menyingkap misteri sambil mencari hukum yang boleh mengatur kehidupan umat manusia agar menjadi lebih bermakna dalam perjalanan menuju dunia seterusnya. Realiti, bumi telah dilumuri darah manusia akibat hilangnya rasa cinta. Mereka dibunuh oleh kebencian yang mengembeleng seluruh kekuatannya. Kebencian telah musnahkan mereka sebelum sempat kebencian dibendungi. Setiap kali berita tentang bendera cinta mahu dikibar, maka dengan gah panji-panji kebencian dipacakkan dahulu. Warisan kehidupan rimba dengan suara-suara lantang menguasai bumi. Bagi mereka, cinta adalah sisi lemah manusia. Untuk terus hidup dan berkuasa, kekuatan lengan dan ketajaman taring adalah faktornya. Mereka dibajai api kebencian, egoism dan kesombongan. Umat manusia pun bercerai berai dan tenggelam dalam lumpur kebencian generasi ke generasi. Berlarutan dalam tempoh yang panjang sehingga tidak terhitung lagi jumlah korban akibat rasa benci. Kesempatan demi kesempatan digunakan oleh rasa benci untuk memusnahkan jiwa manusia. Akibatnya, semua hubungan saling memahami dan persaudaraan hilang begitu saja.

Sunday, August 01, 2010

Cinta Johan (2) 2

Kita juga patut terima bahawa betapa ramai orang yang menerima informasi secara tidak lansung ternyata lebih faham dari yang menerima secara lansung. Betapa ramai orang yang membaca buku lebih cerdas dari penulisnya. Betapa banyak kebaikan di muka bumi ini dimulakan oleh orang terdahulu, tetapi disempurnakan oleh orang yang terkemudian. Jika konsep ini dimengerti, maka kerjasama antara manusia amat ditagih untuk mewujudkan kebaikan. Walaupun buku-buku saya terdahulu beragam, namun hakikatnya satu tujuan. Dalam buku-buku itu terlihat maksud yang satu dan dari lembar-lembarnya tersusun tujuan yang mendesak. Mula hingga akhir menyogok idea supaya kita ikhtiar mengikis kelemahan sambil mengukuh jatidiri.
Saya tidak bermaksud menjadikan tulisan ini sebagai sebuah kitab ideal yang disorongkan tanpa mengira fitrah kebebasan manusia berfikir dan memilih. Tidak juga sebagai tulisan penglipur lara dalam bentuk dogengan seperti Harry Porter. Cukuplah tulisan ini setakat menjadi cuitan nurani kepada pembaca. Cuitan untuk membangunkan ‘Madinah Fadhilah’ bagi diri sendiri sesuai dengan kehendak dan pilihan masing-masing. Pernah seorang cendikiawan mendengar seorang lelaki berkata dengan nada penuh penyesalan, “Alangkah baiknya jika aku dapat bertemu seorang yang mahu mengajarku tentang kebaikan.” Lantas disampuk oleh cendikiawan tersebut, “Alangkah baiknya jika kamu berusaha dengan kemampuan yang ada pada dirimu untuk mencapai kebaikan.” Benar, setiap manusia punyai petunjuk dalam diri sendiri bagi mencapai kebaikan, jika itu yang didambakan. Adalah jauh lebih istimewa andainya diri kita menjadi ikutan, dipercayai dan disenangi tanpa perlu memperjelaskan apa-apa. Tingkah kita untuk kebaikan, tutur kita untuk kebaikan, janji kita untuk bawa kebaikan, minda kita fikir hanya untuk kebaikan, semata-mata bermotifkan kebaikan. Tiada perlu hebahan atau sidang akhbar, tiada perlu penjelasan serta alasan panjang lebar. Just Do It untuk kebaikan. Perkara ini ditekankan bukanlah bermaksud mengecilkan peranan mencari ilmu pengetahuan, tetapi sebaliknya mengangkat nilai kerja dan kepakaran keperingkat tinggi. Semoga tulisan ini lebih menjadi peringatan daripada sekadar penjelasan. Lebih menjadi pendorong dari sekadar penerangan. Tuan-tuan, saudara-saudara dan saya mungkin mampu melaksanakan semua peringatan ini. Tetapi mungkin juga berupaya sebahagiannya sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain. Bagaimana sekali pun kenyataannya, kita tidak boleh putus asa atau menjadikan kelemahan sebagai dermaga terakhir bahtera kehidupan berlabuh.