Tuesday, November 03, 2009

UMNO Semasa

Saya terpanggil untuk berkongsi dengan para sahabat tentang sedikit kandungan yang saya tulis dalam Laporan Permasalahan UMNO Selangor yang ditugaskan kepada saya oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia baru-baru ini. Perkara yang saya paparkan di bawah ini adalah sebahagian rumusan yang didapati dari sumber akar umbi dan rakyat biasa (bukan dari pemimpin peringkat bahagian).

1. Rakyat perlukan UMNO yang dapat membela nasib bangsa.

Rakyat hendaklah dilihat sebagai individu, bukannya puak, kelompok atau keseluruhan. Kehidupan seharian – makan minum, tempat tinggal, pengangkutan, keselamatan, pekerjaan, keperluan keluarga, agama, kebebasan dan sebagainya adalah falsafah penting hidup mereka. Tanpa atau kekurangan perkara-perkara ini akan menjejas kesejahteraan mereka walaupun infrastruktur mega kelas dunia menghiasi halaman. Rakyat sebagai individu, mempunyai hati, perasaan dan tubuh badan, jika mereka melalui kesukaran dengan kerenah birokrasi jabatan-jabatan kerajaan atau ahli-ahli politik, persepsi mereka pasti akan bertukar. Kempen atau deklerasi para pemimpin akan menjadi bahan cemuhan dan akan menganggap pilihanraya hanyalah sebagai proses demokrasi yang mementingkan undi rakyat untuk kepentingan dan manfaat korporat, golongan elit dan pemimpin rasuah.

Politik sudah menjadi satu industri besar. Kebanyakan yang berkecimpung dalam politik berharap kepada imbuhan dan yang menjadi pemimpin pula mendambakan peluang keuntungan yang besar.

Mendekati rakyat dengan menyelesaikan masalah seharian mereka tanpa mengeluarkan wang ringgit lebih berkesan untuk mendapatkan sokongan mereka. Hati mereka lebih tersentuh jika UMNO atau pegawai-pegawai kerajaan berkhidmat secara proaktif, bukan hanya menunggu rakyat datang mengadu. Perkara-perkara yang mereka harapkan bukanlah rumit, cuma sekadar mudah mengisi borang di pejabat kerajaan atau GLC, persekolahan anak-anak tanpa ada yuran-yuran terselindung, perkhidmatan awam yang efisyen dan sebagainya.

2. Salahkan parti dan kerajaan dahulu sebelum menyalahkan rakyat.

Lumrahnya kesalahan dan kelemahan dijuruskan kepada rakyat – sikap rakyat, fahaman agama rakyat, mentaliti rakyat dan pelbagai lagi. Contoh, kemalangan jalanraya sering disalahkan rakyat memandu tanpa berhati-hati. Tetapi ianya adalah helah semata-mata. Kerajaan tidak menguatkuasakan etika di jalanraya sepenuhnya, lori, bas dan kenderaan berat dipandu melebihi had laju serta lebuhraya dibiar menjadi medan pembunuhan beramai-ramai. ‘Ah Long’ – adalah amat muak jika kerajaan membuat kenyataan bahawa kegiatan tersebut sukar dibendung. Papan-papan tanda, bangunan serta tembok penuh dengan iklan-iklan mereka, malah terpampang nombor-nombor telefon. Persepsi umum adalah, jika masalah remeh begini kerajaan tidak berupaya menanganinya, lupakan soal yang lebih besar.

Rumusannya ialah the will to solve the problems for whatever resons, is not there!

Kerajaan bertanggungjawab menguruskan negara dan kesungguhan mestilah betul-betul sungguh. Rakyat akan tetap bersama kerajaan.

3. Pemimpin Elit dan Kapitalis.

Demokrasi sekarang telah berubah dari konsep asalnya. Ini merupakan fenomena global iaitu, demokrasi telah menjadi alat kapitalis. Tindakan membela kepentingan rakyat jelata tidak dapat dibuat dengan berkesan. Jika kerajaan tidak mampu mengatasi masalah rakyat secara berkesan dengan mengutamakan rakyat sebagai individu, akibat dari tekanan kapitalis, rakyat tidak akan meletakkan harapan kepada UMNO lagi. Bahkan dalam jangka masa terdekat rakyat akan mengubah corak politik.

Adakah UMNO akan terus mementingkan indeks itu ini, defisit, KDNK, pasaran bebas, globalisasi, WTO dan sebagainya, lalu meletakkan kepentingan kesejahteraan rakyat di takuk bawah? Meneruskan projek-projek mega penswastaan yang akhirnya menyempitkan rakyat biasa semata-mata didesak kehendak para kapitalis?

Perancangan teliti dengan mengutamakan rakyat adalah kunci utama untuk mendapat kepercayaan. Bukan sepertimana Dasar Automotif Nasional yang baru diumumkan, lebih mementingkan kapitalis dari kesejahteraan hidup rakyat biasa. Kerajaan tidak sanggup mengorbankan nasib 84 pengimpot kereta sehingga 2015, tetapi menambah beban rakyat keseluruhan dengan tambahan RM10,000 lagi untuk membeli kereta impot terpakai. Kenderaan berusia lebih 15 tahun dikenakan syarat itu ini yang melibatkan birokrasi di Puspakom dan JPJ. Kenapa rakyat biasa masih mahu memandu kereta tersebut? Rakyat biasa juga bukannya suka memandu kereta lama, tetapi tiada kemampuan membeli kereta baru. Namun mereka sengaja dibebankan oleh polisi kerajaan. Malangnya rakyat atasan yang sememang suka memandu kereta lama diberi kelepasan atas tiket vintage. Rakyat tidak perlukan wang dari kerajaan untuk mereka sejahtera, tetapi sekadar keperihatinan dan tidak menyusahkan. Walau apa pun alasan kerajaan, keyakinan rakyat semakin nipis

4. Budaya prestasi.

UMNO, jika mahu terus relevan mesti memupuk budaya prestasi di kalangan pemimpin dan ahli-ahlinya. Menghapuskan politik wang semasa pemilihan tidak mungkin berkesan sepenuhnya, bahkan dilihat sebagai sandiwara sahaja. Budaya prestasi dengan mengutamakan kriteria bersih, ikhlas dan persaudaraan perlu digunakan secara menyeluruh dan dijadikan ikrar anggota parti. Pemilihan pemimpin yang bertanding menjadi lebih mudah dan dapat mengelakkan perebutan rakus menggunakan wang.

Budaya prestasi pemimpin UMNO akan melonjakkan UMNO sebagai tulang belakang BN. Usaha ini akan memaksa pembangkang mengikut jejak langkah yang mana dapat mengubah budaya politik Malaysia ke tahap yang lebih matang.

5. Isu Global.

Isu global bukan lagi menjadi faktor luaran yang neutral, tetapi telah menjadi alat pihak-pihak luar melemahkan dan menguasai negara dalam struktur New World Order. Pemimpin UMNO khususnya dan ahli-ahli amnya serta rakyat keseluruhan perlu memahami agenda antarabangsa yang mungkin mempengaruhi destini kita.

Penangkapan Dr Mohd Asri Oleh JAIS

Dr Mohd Asri ditangkap atas alasan berceramah agama tanpa 'tauliah' di Negeri Selangor. Huh.. alasan apa itu? Adakah menahan ustaz berceramah agama menjadi salah satu keutamaan kepada JAIS melindungi Islam di Selangor? Maksiat yang terang-terangan dibiar berleluasa dan dipekakkan telinga dibutakan mata.
Mari kita lihat alasan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang menghantar memoradum bantahan kepada DYMM Yang DiPertuan Agung supaya menarik balik perlantikan Dr Mohd Asri dari menjadi Yang DiPertua YADIM.
Memorandum tersebut disokong oleh 12 lagi NGO termasuk JIM dan ABIM. Saya tidak hairan jika Persatuan Ulamak Kedah dan Malaysia menyokong memorandum ini, tetapi kenapa JIM dan ABIM? Alasan yang diberikan sangat dangkal, dan menggambarkan seolah-olah Islam itu adalah satu adat orang Malaysia. Sudah menjadi lumrah manusia, sukar menerima perkara yang bukan dari kebiasaan.
Saya berharap Dr Mohd Asri akan menerima perlantikan sebagai Yang DiPertua YADIM yang baru. Majoriti rakyat Malaysia akan menyokong beliau.
Orang yang sepatutnya ditangkap adalah yang berjanggut ditengah gambar ini. Ajaran Aurad Ismailiahnya disahkan sesat oleh Gezzette Majlis Agama Islam Selangor 1995. Malah Pak Lah dan Anuar masih boleh melawat Madrasahnya.
Ini pula link Penghuni Gua yang membincangkan perkara yang sama dengan panjang lebar.

Monday, November 02, 2009

Harap Maaf

Assalamualaikum kenkawan,
Saya tersangat sibut sejak dua tiga minggu yang lalu dan tidak berkesempatan untuk meneruskan tulisan Be With Me. Kesibukan saya termasuklah bergelumang di padang golf. Walau bagaimana pun saya akan sambung penulisan dalam sehari dua ini.
Terima kasih.