Monday, September 27, 2010

Ramadhan & Syawal

Berlalu sudah Ramadhan 1431 Hijrah dan Syawal pula berada di penghujungnya. Berpuasa rukun sudah dan beraya Aidilfitri pula mula suram kemeriahannya. Aku lenyap dari alam cyber sejak 8hb Ogos, 2 hari sebelum bermulanya Ramadhan kononnya ingin menumpukan aktiviti kepada keagamaan. Berniat mengurangkan tumpuan kepada duniawi dan mahu mendambakan masa kepada Tuhan. Suci sungguh niatku...
Apakan daya, aku hanya manusia biasa.. Tekanan dan tuntutan hidup duniawi menghambatku hingga ke dalam masjid. Mendesak agar aku lupakan niat dan hasrat melebihkan akhirat. Kekalutan hidup makin menjadi-jadi di bulan Ramadhan. Adakah itu cuma dugaan Tuhan? Atau aku sendiri yang mencipta dan menjemputnya tanpa sedar?
Niat suciku hanya tinggal niat, dinodai oleh hati dan minda yang berkonflik tentang yang mana satu keutamaan hidup. Hati mahu meneruskan niat, namun minda membentangkan alasan-alasan logik dan berasas agar aku menukar hasrat.
  • (Minda)
  • Tuntutan duniawi lebih penting kerana tanpa pengukuhan duniawi, akhirat tidak mungkin mampu dicapai."
  • (Hati)
  • Duniawi ini cuma sementara, ketakwaan kepada Allah adalah lebih tinggi dari segala nikmat dunia ini.
  • (Minda)
  • Mana mungkin dapat bertakwa andainya hidup kita bagai manusia melarat. Sesungguhnya, kekayaan duniawi berupaya meninggikan ketakwaan kita.
  • (Hati)
  • Kita perlu berserah sepenuhnya kepada Allah dan menerima ketentuannya, barulah ketakwaan kita kukuh. Kita bukannya akan menongkat langit di dunia ini selamanya, akhirat adalah abadi. Jangan pula kita leka dengan duniawi yang seketika ini dan melalaikan tujuan asal kehidupan, iaitu persediaan untuk keabadian di akhirat.
  • (Minda)
  • Ya, aku tahu! Tetapi penciptaan kita di atas muka bumi ini bukan untuk hidup tersiksa semata-mata mahu mengabdikan diri pada Allah. Allah tu kan Maha Penyayang serta Maha Adil. Setiap yang terjadi adalah yang terbaik untuk kita. Alam yang terbentang, kemewahan, keseronokan dan kebahagiaan di dunia ini adalah untuk siapa kalau bukan untuk kita?
  • (Hati)
  • Hai Minda! Janganlah kau tertipu dengan kehidupan duniawi. Jangan sekali-kali kau tergoda dengan kemewahan dan kesenangan dunia yang akan mengelabui pertimbangan waras. Marilah kita kembali kepada niat asal, lebihkan ibadat di bulan Ramadhan ini dan terus berdoa agar kita dilindungi dari azab api neraka Jahannam.
  • (Minda)
  • Kamu silap Hati. Dunia tidak pernah menipu kita, malah kita yang sering menipu kita sendiri. Kita mengatakan kemewahan dan kesenangan dunia akan melalaikan kita dari Allah. Sebenarnya itu adalah satu penipuan besar kepada diri kita dan kehidupan, kerana kebenaran adalah sebaliknya.
  • (Hati)
  • Kau jangan nak mengada-adakan cerita Minda. Apakah kebenaranya?
  • (Minda)
  • Ini adalah fakta dari al-Quran dan Hadith. Sesungguhnya, kemiskinan itu akan menghampirkan kita kepada kekufuran, bukan kekayaan.
  • (Hati)
  • Suka kau lah Minda, aku ikut aje...

No comments:

Post a Comment

Amat menghargai pandangan anda..