Thursday, October 14, 2010

Permasalahan Dengan "Pengalaman"

"Jauh perjalanan luas pemandangan' adalah peribahasa yang dikaitkan dengan orang yang banyak pengalaman setelah sekian lama melalui liku-liku kehidupan di dunia ini. Adakah dengan pengalaman yang begitu banyak mampu membuat seseorang itu lebih bijaksana?
Secara am, kita menganggap begitu, tetapi realitinya orang yang berpengalaman mempunyai lebih banyak halangan untuk terus maju dalam mengendalikan hidup. Pengalaman kita lebih kepada menjadi penghadang daripada menyokong setiap tindakan yang mahu dibuat. Pertimbangan kita berpandukan kepada peristiwa dan kejadian yang telah kita lalui suatu ketika dulu. Kita lupa bahawa di ketika ini keadaan sudah berubah dan pengalaman lalu sudah tidak relevan lagi. Namun kita sering menggunakan pengalaman lalu itu sebagai 'benchmark' untuk kita membuat keputusan.

Kesannya amat serius, di mana kita akhirnya mengambil keputusan untuk tidak buat apa-apa dan akan ketinggalan.

Begitu juga dalam soal memberi nasihat kepada generasi muda. Sedarlah bahawa niat baik kita untuk menasihati mereka adalah sia-sia kerana akan hanya dipandang sepi. Contohnya, anak-anak akan jemu dan resah apabila ibubapa menasihati meraka dalam soal bagaimana menghadapi kehidupan ini. Sememangnya ibubapa berbuat begitu adalah kerana menyayangi anak-anak mereka, tetapi mereka lupa bahawa anak-anak telah melalui zaman kehidupan yang berbeza. Ada di antara nasihat-nasihat ibubapa, guru-guru dan saudara-mara yang boleh merosakkan perkembangan hidup anak-anak dan menghalang dari mempunyai sikap proaktif, teroka dan berhati bersih. Kebanyakan nasihat adalah berbentuk AWAS, menakut-nakutkan dan suruh kita bimbang selalu tentang orang sekeliling.

Sehari dua ini aku mengalami keadaan yang hampir serupa dengan seorang anak muda dan sehinggakan aku terlajak kata. Aku terngadah dan mula sedar akan ketelanjuran keterujaan untuk menasihati. Tindakbalasnya amat mengejutkan dan aku mula mengerti akan kebodohan sendiri dari pengalaman yang ada.

Kesimpulannya, simpan pengalaman kita untuk kenangan dan jangan beri nasihat atas dasar prihatin atau kerana sayang jika tidak diminta. Banyak lagi perkara lain yang boleh kita buat untuk menghabiskan sisa-sisa hidup ini. Andai tiada siapa mahu mendengar nasihat kita, pergi main golf adalah lebih baik!