Monday, November 15, 2010

Bencana & Hikmah

Bertanggungjawab! Tidak menyalahkan orang lain (juga diri sendiri), alam semesta atau Tuhan jika ketika ini keadaan tidak seperti yang kita inginkan. Kita perlu berkemampuan dengan kreatif menangani sebarang perkara yang kita anggap sebagai masalah dan mengubahnya menjadi benih-benih peluang.


Kesedaran ini akan memungkinkan terciptanya sesuatu yang baru atau terhasil situasi yang lebih indah. Terdapat banyak perkara yang dilalui dalam kehidupan ini yang mana pada permulaannya dianggap sebagai mengganggu, tetapi akhirnya menjadi guru dan penawar untuk kita terus berkembang maju.

Sekiranya kita sedang mengalami kepayahan, kesukaran dan kesempitan hidup, ingatlah kenyataan ini: 

"Ketika ini memang seharusnya begini kerana itu yang terbaik."

Terdapat makna yang tersembunyi dalam ungkapan tersebut untuk kita meneruskan hidup. Setiap kejadian yang diizinkan Tuhan untuk berlaku adalah sempurna tanpa cacat cela kerana Tuhan Maha Agung, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui..... Tetapi kita hanya gemar melihat kesempurnaan Tuhan dari keindahan. Keindahan matahari terbit dan terbenam, panorama pantai, kicauan burung, tawa riang, nyaman udara, kekayaan harta benda, ......... Jangan terlepas pandang, bencana alam banjir, gunung berapi, tsunami, gempa, kebuasan harimau, kelaparan, kemiskinan, ...... ada kesempurnaan! Itu tugas kreativiti kita untuk mencungkil dan mencari kesempurnaannya.
Ramai manusia hebat yang pernah kita kenali bukannya lahir dari mereka yang menyelusuri pantai melihat panorama, mengejar rama-rama di taman, atau bersukaria dengan harta keturunan, tetapi mereka muncul dari kepayahan hidup yang dilalui. Mereka dengan sabar mencari kesempurnaan ciptaan Tuhan dalam bencana, dalam kekalutan, dalam keperitan dan dalam segala macam dugaan. Mereka menerima seadanya dan memahami bahawa alam berfungsi atas dasar harmoni demi untuk keseimbangan.

Bersih hati tanpa ada hasad dengki!