Saturday, July 31, 2010

Cinta Johan (2) 1

Mulakata
Saya bukanlah seorang ahli filosofi, bukan juga ahli psikologi, penasihat atau pengajar. Saya hanya seorang penulis biasa yang senantiasa mengharapkan kebaikan dari kehidupan. Oleh itu bila terdapat petunjuk tentang kebaikan, saya akan segera mempelajarinya sambil mengajak saudara-saudara untuk mendapatkannya. Jika ada kebaikan yang tidak mampu saya fahami sekalipun, saya amat gembira ditunjuki, diajari dan diajaki oleh sesiapa yang lebih mampu dan pakar dalam kebaikan tersebut. Saya bahagia bila dapat saling berbincang dan memotivasikan minda agar dapat menjadikan kebaikan sebagai satu agenda.
Kita mungkin dapat mengukur kemajuan atau keterbelakangan fikiran jika saling berbincang tentang isu-isu kebaikan. Lantas dari cuitan kebaikan itu, saya terjolak rasa untuk menatakan dalam lembar-lembar berikut ini beberapa idea yang isinya mungkin elok digunapakai dalam jaluran kehidupan.
Watak penulis lebih mendominasi diri saya membayangi watak pensyarah. Lantas saya gemar memaparkan kata-kata dan pendapat yang saya fikir benar serta bermanfaat kepada pembaca. Pembaca punyai lebih masa untuk berfikir dan menterjemahkan butiran tulisan melalui mata, berbanding pendengar yang kesuntukkan serta tergesa-gesa mentafsir menerusi telinga. Malangnya, majoriti umat lebih gemar gunakan telinga untuk menimba ilmu. Walau bagaimana pun, manusia harus tahu bahawa diri masing-masing adalah saling melengkapi umpama 'jigsaw puzzles' untuk kita lebih mengerti tentang gambaran kehidupan yang indah.

Friday, July 30, 2010

Mulanya Cinta Harmoni

Tujuan asal mengaktifkan blog ini sememangnya untuk membicarakan tentang cinta. Cinta yang dimaksudkan adalah cinta harmoni. Tulisan yang akan dipaparkan di sini mulanya adalah cadangan penghasilan sebuah buku. Mungkin 'stim' saya untuk menulis buku telah menurun akibat dari putaran alam tidak sepertimana keinginan di hati. Royalti tidak dibayar, cetakan bermutu rendah, penerbit menghilangkan diri dsb. Tapi itulah alam yang sempurna ini, setiap kejadian berlaku kerana ianya mesti berlaku samada kita suka atau tidak. Alam akan terus berfungsi mengikut 'hukum'nya tanpa terpengaruh oleh apa-apa. Tuhan Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi dan semuanya mengandungi hikmah. Jadi mulai sekarang saya ambil keputusan untuk berkongsi dengan para sahabat secara percuma... Samada tulisan saya ada isi atau tidak, itu terserah kepada para sahabat untuk mentafsirinya.
Takziah untuk sahabat karib saya, Encik Mohd Noor Ghazali dan keluarga di atas pemergian anakandanya yang tercinta. Semoga rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan bersama para Muslimin yang terdahulu. Saya tidak sempat menziarahinya kerana hanya dimaklumkan sebentar tadi. Kita makin mengerti tentang kehidupan dan konsep 'Total Acceptance'. Kepada sahabatku (Mohd Noor), hikmah Allah tidak terhingga jika kita meyakininya!.