Tuesday, October 19, 2010

Unik Pemikiran


Setiap manusia dikurniakan pemikiran. Pemikiran seseorang adalah unik dan semestinya hakcipta tersendiri. Apa yang difikir adalah tanggungjawab masing-masing.

Tahu atau tidak bahawa pemikiran seseorang tercetus adalah untuk menganalisa setiap apa yang berlaku dalam kehidupannya dan seterusnya memberi arahan kepada anggota fizikal untuk bertindak. Benih pemikiran seorang dewasa adalah terbentuk dari paten-paten pemikiran dan pengalaman yang lalu yang dibentuk dalam satu jangkawaktu. Biasanya paten pemikiran kita mula di programkan sejak dari bayi lagi oleh ibubapa.

Apabila kita meningkat usia, banyak faktor yang membantu membina paten cara kita berfikir. Saudara-mara dalam keluarga, guru-guru di sekolah, rakan sepermainan, teman sekerja, iklan tv serta orang yang sering kita dampingi adalah sumber pemantapan cara kita berfikir.

Pernahkah kita bertanya, adakah cara kita berfikir sekarang ini betul? Bolehkah kita mengubah cara kita berfikir?

Perlu diingat bahawa keadaan kehidupan yang ada hari ini adalah hasil dari pemikiran kita. Pemikiran kita sebenarnya yang membentuk dan mencorak arah perjalanan kehidupan. Sekiranya kita gembira dan bahagia dengan apa yang kita ada dan alami dalam kehidupan ini, maka teruskanlah cara kita berfikir. Ini bermakna 'pemikiran' kita selari dengan alam dan harmoni dengan fitrah kejadian. Tetapi andainya kita masih bergelut dalam gelumang kesengsaraan, belum nampak sinar dihujung terowong, masih menginginkan perkara-perkara yang orang lain ada, hati sering gusar serta belum cukup bahagia, kaji dan timbang-timbangkanlah bagaimana pemikiran kita bekerja.

Sekiranya kita dibesarkan dalam keluarga yang tidak pentingkan budibahasa, jangan mengharap orang lain boleh menerima sikap kurang ajar kita. Andainya paten pemikiran kita mementingkan lambang-lambang kebendaan, usah dimarah orang yang menganggap kita mata duitan. Begitu juga jika kita berfikiran bahawa pertahankan ego itu satu kebanggaan, orang lain yang rendah diri akan mula menjauhi dan rasakan kita bodoh.

Suka atau tidak alam ini tetap akan berfungsi secara adil. Orang yang sering menghampiri kita adalah terdiri dari orang yang mempunyai paten pemikiran yang sama. Jika kita tidak berapa selesa dengan orang yang di sekeliling, ubahlah cara kita berfikir. Nescaya kita akan menemui dan bergaul dengan orang yang lebih baik.

Apa yang kita ada hari ini adalah hasil dari apa yang kita fikir dan lakukan semalam. Penanda arasnya amat mudah, "Adakah aku bahagia dengan apa yang aku ada?" Jika tidak, carilah cara terbaik untuk berfikir.

Fakta:
Seorang dewasa berfikir sebanyak 50,000 kali sehari. 48,000 adalah berbentuk negatif.

No comments:

Post a Comment

Amat menghargai pandangan anda..