Thursday, October 21, 2010

Kemelut

Tanpa sedar ramai dari kita mahu menjadi Tuhan. Tuhan yang mengatur perjalanan dunia dan kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Kita mahu menjadi Tuhan yang hanya mementingkan kebahagiaan dan kesenangan diri kita sahaja. Kita mahu segala-galanya berfungsi memenuhi keperluan perasaan, hati dan fizikal pada masa sekarang dan masa depan.

Tanpa kita sedar juga, itulah sebenarnya punca kepada ketidakbahagiaan hidup kita. Punca kepada kepayahan atau 'struggle' dalam menjalani kehidupan, punca kepada pergaduhan dan punca kepada peperangan. Kita menafikan kekuasan Tuhan yang sebenar, menafikan keAgunganNya, menafikan kebijaksanaanNya, memperlekehkan keadilan dan kasih sayangNya. Kita melenting sekiranya keadaan tidak seperti yang sepatutnya kita mahu, kita membenci andainya orang lain berperangai tidak seperti yang kita suka dan hati luka andai yang tersayang berkelakuan tidak seperti yang kita dambakan.

Hidup ini sebenarnya indah dan amatlah merugikan jika kita membazir waktu mahu mengambil-alih kuasa Tuhan. Kita hanya insan kerdil ciptaanNya. Layarilah hidup ini seadanya tanpa mencabar kredibiliti Tuhan. Setiap yang berlaku adalah perkara terbaik sepatutnya berlaku. Tidak ada faedahnya kita menggadai kebahagiaan hanya semata-mata kerana tidak faham apa yang berlaku. Sebaliknya kita sering membuat tafsiran dan anggapan yang liar hanya kerana apa yang berlaku tidak menyebelahi kita.

Malangnya aku memahami konsep ini hanya setelah berada dipenghujung kehidupan. Namun aku tetap bersyukur dengan anugerahnya yang membolehkan aku melihat dengan lebih terang dari mata hati. Aku jalani kehidupan seadanya, aku terima sesiapa saja, kerana aku tahu Tuhan Sebenar yang mengaturnya. Dia tahu apa yang terbaik untuk aku dan untuk keseimbangan ALAM. Andainya aku perlu merana untuk membuat lebih ramai manusia bahagia, aku pasrah! Jika aku perlu mati untuk kesinambungan hidup lebih ramai insan, aku rela! Hati dan perasaanku sudah tiada lagi perasaan kecewa, dan aku juga tidak lagi perlu menjelaskan kepada sesiapa tentang kesusahan, keperitan yang aku lalui. Aku tidak lagi boleh dipaksa memohon kelulusan dari sesiapa untuk aku lakukan apa yang aku rasa betul dan aku bertanggungjawab dengan segala tindakanku.

Aku digelar PENIPU, mungkiri janji, curang dan tuduhan-tuduhan keji oleh mereka yang ingin menjadi Tuhan. Aku dihukum dan dihina dengan berbagai kesalahan yang aku sendiri tidak pernah terbayang difikiran. Hanya kerana aku tidak memenuhi kriteria kehendak 'Tuhan' ini, hanya kerana aku tidak memberi penjelasan sebagaimana yang 'Tuhan' ini ingin dengar. Akhirnya 'Tuhan' ini merajuk dan aku menjadi sampah yang sudah tidak berguna lagi.

Fikiran dan perasaan seseorang adalah tanggungjawab masing-masing. Kita tidak mampu mengubah fikiran dan perasaan orang lain kerana ianya adalah kerja yang sia-sia. Andainya mereka mahu berubah, hanya mereka yang mampu.

"Ya Allah Ya Tuhan ku, hanya kepada Mu tempat aku menyembah dan hanya pada Mu tempat aku memohon. Ampunilah dosa-dosaku. Kurniakanlah petunjuk dan hidayah Mu untuk aku meneruskan kehidupan di bumi Mu ini. Jauhilah diriku dari segala masalah yang membebankan dan keluarkanlah diriku dari kesengsaraan hidup ini. Temukanlah aku dengan insan-insan yang terbaik untuk aku bersama. Permudahkanlah perjalanan hidupku pada hari ini, esok hari dan hari-hari seterusnya serta redhakanlah. Amin Ya Rabbal Alamin,,,"

No comments:

Post a Comment

Amat menghargai pandangan anda..