Sunday, August 01, 2010

Cinta Johan (2) 2

Kita juga patut terima bahawa betapa ramai orang yang menerima informasi secara tidak lansung ternyata lebih faham dari yang menerima secara lansung. Betapa ramai orang yang membaca buku lebih cerdas dari penulisnya. Betapa banyak kebaikan di muka bumi ini dimulakan oleh orang terdahulu, tetapi disempurnakan oleh orang yang terkemudian. Jika konsep ini dimengerti, maka kerjasama antara manusia amat ditagih untuk mewujudkan kebaikan. Walaupun buku-buku saya terdahulu beragam, namun hakikatnya satu tujuan. Dalam buku-buku itu terlihat maksud yang satu dan dari lembar-lembarnya tersusun tujuan yang mendesak. Mula hingga akhir menyogok idea supaya kita ikhtiar mengikis kelemahan sambil mengukuh jatidiri.
Saya tidak bermaksud menjadikan tulisan ini sebagai sebuah kitab ideal yang disorongkan tanpa mengira fitrah kebebasan manusia berfikir dan memilih. Tidak juga sebagai tulisan penglipur lara dalam bentuk dogengan seperti Harry Porter. Cukuplah tulisan ini setakat menjadi cuitan nurani kepada pembaca. Cuitan untuk membangunkan ‘Madinah Fadhilah’ bagi diri sendiri sesuai dengan kehendak dan pilihan masing-masing. Pernah seorang cendikiawan mendengar seorang lelaki berkata dengan nada penuh penyesalan, “Alangkah baiknya jika aku dapat bertemu seorang yang mahu mengajarku tentang kebaikan.” Lantas disampuk oleh cendikiawan tersebut, “Alangkah baiknya jika kamu berusaha dengan kemampuan yang ada pada dirimu untuk mencapai kebaikan.” Benar, setiap manusia punyai petunjuk dalam diri sendiri bagi mencapai kebaikan, jika itu yang didambakan. Adalah jauh lebih istimewa andainya diri kita menjadi ikutan, dipercayai dan disenangi tanpa perlu memperjelaskan apa-apa. Tingkah kita untuk kebaikan, tutur kita untuk kebaikan, janji kita untuk bawa kebaikan, minda kita fikir hanya untuk kebaikan, semata-mata bermotifkan kebaikan. Tiada perlu hebahan atau sidang akhbar, tiada perlu penjelasan serta alasan panjang lebar. Just Do It untuk kebaikan. Perkara ini ditekankan bukanlah bermaksud mengecilkan peranan mencari ilmu pengetahuan, tetapi sebaliknya mengangkat nilai kerja dan kepakaran keperingkat tinggi. Semoga tulisan ini lebih menjadi peringatan daripada sekadar penjelasan. Lebih menjadi pendorong dari sekadar penerangan. Tuan-tuan, saudara-saudara dan saya mungkin mampu melaksanakan semua peringatan ini. Tetapi mungkin juga berupaya sebahagiannya sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain. Bagaimana sekali pun kenyataannya, kita tidak boleh putus asa atau menjadikan kelemahan sebagai dermaga terakhir bahtera kehidupan berlabuh.

2 comments:

  1. Salam, cinta memberi inspirasi dan ilham untuk U berkarya la Jo.... Semua insan berhak menikmati cinta.... kenapa usia dijadikan halangan...?

    ReplyDelete
  2. Hehe Gie, perli aku nampak... Anyway, thanks for the comment.

    ReplyDelete

Amat menghargai pandangan anda..