Friday, July 24, 2009

Cinta Johan (Ending)

Terdapat 13 posting berkenaan dengan cinta. Cinta yang saya paparkan adalah cinta harmoni yang berpandukan kepada hakikat kewujudan alam. Alam ini dicipta Allah swt atas dasar harmoni dan ciptaannya penuh dengan kesempurnaan. Alam semesta akan tetap begitu sistemnya sehingga kiamat. Tuhan Maha Agung, hasil ciptaanNya juga agung dan 'perfect' keselarasannya tanpa perlu lagi Dia mencampuri urusan perjalanan alam. Pengaruh sistem alam ke atas kehidupan manusia adalah semata-mata bersifat saintifik dan tidak menyeluruh. Alam tidak mencampuri urusan akidah dan tauhid manusia, sementara akidah, tauhid, fardhu 'ain yang diamalkan manusia tidak mempengaruhi sistem alam berfungsi. Manakala kuasa Tuhan tidak terbatas. KuasaNya merangkumi segala-segala termasuk sistem alam, sistem akhirat, akidah dan tauhid manusia dan kekal selama-lamanya. Kuasa Tuhan adalah abadi.

Monday, July 20, 2009

Cinta Johan 13

Alam tidak mendapat apa-apa dari kita, selain pantulan raut jiwa yang harmoni. Jika hilangkan ketenangan diri, sebenarnya kita meletakkan diri sebagai calon penerima kesengsaraan dari alam. Kita harus lebih mencintai dan menghormati diri kerana diri kita bukanlah molekul yang tersesat dalam hampagas. Diri kita adalah dari untaian kewujudan manusia dan juga sebahagian dari kewujudan alam. Jika kita berdiri di hadapan cermin, apa yang nampak adalah suatu keajaiban yang merangkumi semua karekteristik genius manusia dengan semua kehormatan dan keagungan.
Cinta agung yang memenuhi hati Muhammad SAW, al-Masih AS, Buddha, Ghandhi, Konfusius ada bersama diri kita. Kita miliki potensi ini penuh dengan segala kemungkinan.

Thursday, July 16, 2009

Cinta Johan 12

Jadi, apakah cinta itu? Ia adalah aktiviti ceria yang membahagiakan jiwa untuk melestarikan wujudnya cinta. Ia adalah keinginan-keinginan kita yang menyenangkan dan saat-saat berlalu tanpa beban. Maknanya, cinta datang dari dalam jiwa kita sendiri. Bagaimana mungkin kita boleh mencintai orang lain jika kita tidak mencintai jiwa dan diri kita sendiri. Keinginan kita datang dari hati dan apabila kita mencintai apa yang diinginkan, segala kepayahan untuk mendapatkannya merupakan kesulitan yang menyenangkan. Bila hasrat tercapai, rasa bahagia memenuhi ruang diri. Jadi, cintailah diri sendiri. Egoistik bukanlah cinta sejati, ianya fanatik, desperate dan penipuan. Sedangkan cinta mempunyai nilai toleransi, memahami dan membantu. Jangan sekali-kali membenci diri di atas apa yang terjadi. Orang yang membenci diri akan berubah menjadi letupan-letupan yang sering mencari gaduh. “Bagaimana aku mahu mencintai diriku sendiri?” Kita hanya perlu mengembangkan cinta yang sememangnya telah dianugerahkan Tuhan kepada setiap makhluk. Kita hanya perlu memelihara cinta kepada diri sendiri sepertimana ibubapa memelihara anak-anak dan tukang kebun memelihara keindahan taman dengan bunga-bunganya. Perkara pertama yang harus kita tahu ialah ‘nilai diri’. “Apakah nilai diriku ini?” Kita adalah orang yang baik. Betapa banyak kesilapan dan kekurangan, kita tetap manusia yang baik. Sekalipun kita tidak baik tetapi dalam diri terdapat keinginan untuk menjadi lebih baik dari masa lalu, sudah cukup untuk kita. Potensi-potensi buruk yang terpendam sering berkembang menghalangi potensi-potensi kebaikan tanpa henti. Namun nun jauh dalam sanubari, selalu ada kecenderungan kepada kebaikan, kerinduan kepada kesempurnaan. Usaha yang kadang berhasil dan saban jua gagal. Maka janganlah menghina diri kerana kekurangan yang ada. Ajaklah diri berbincang tentang kesilapan lalu, tetapi jangan menghina diri. Cari jalan menjauhi keburukan, tetapi jangan menindasnya. Sebab kita dapati ramai yang menyimpan rasa permusuhan dan kebencian, mendapat semua itu dari kerosakkan jiwa mereka sendiri yang dibenci dan ditindas. Jika ingin memperolehi kedamaian dan persahabatan sejati, mulailah dengan memberikan jiwa sendiri kedamaian dan persahabatan.

Saturday, July 11, 2009

Cinta Johan 11

Keistimewaan cinta paling utama adalah kemampuan membuat orang lain percaya dan merasa tenang dengan diri kita. Cinta kita kepada orang lain tidak akan sia-sia kerana lambat laun cinta kita akan dipercayai dan disenangi. Harungilah kehidupan dengan cinta bersama jiwa yang agung. Setelah kita menyedari itu semua, bagaimana kita mahu menjadi orang yang penuh dengan cinta? Cintailah jiran tetangga mu, cintailah saudara-saudara mu, cintailah kedua orang tua mu, cintailah alam. Semuanya benar belaka. Namun yang paling utama dan penting ialah “Cintailah diri sendiri!” Cinta selamanya, sedalamnya dan sebenar-benarnya. Jika kita tidak mampu mencintai diri sendiri, mana mungkin kita mampu mencintai dan dicintai orang lain. Orang yang mencintai dirinya akan mencintai dan dicintai kawan-kawannya. Benarlah kata Plato, “Persahabatan yang paling sukar dan paling berat dijalin oleh seseorang adalah persahabatan dengan dirinya sendiri.” Amatlah malang jika kita menganggap cinta kepada diri sendiri itu adalah ego dari perspektif wang dan harta benda. Ianya adalah satu kezaliman pada diri sendiri.

Monday, July 06, 2009

Cinta Johan 10

Jika kita mencintai manusia dengan benar, mereka tidak sekali-kali akan membalas dengan kebencian. Kekadang ada juga perkara sebaliknya berlaku, tetapi kemudiannya mereka akan kembali dengan membawa hati penuh cinta. Ini adalah kerana orang yang membenci orang yang mencintainya hanyalah terdorong oleh perasaan bahawa dirinya lebih istimewa. Cinta kita dibalas dengan kebencian. Kita ingin mengangkat darjat mereka, tetapi mereka sengaja terperuk dalam kerendahan dan kehinaan. Mereka bersikap seperti beberapa umat Nabi terdahulu yang mengatakan, “Keluarkanlah mereka (Nabi dan pengikutnya) dari kampung kalian, kerana mereka asyik menyucikan diri!” Ingatlah bahawa, ketinggian moral akan melindungi diri. Dengan itu, orang yang membenci orang yang mencintai mereka akan segera mengetahui kekeliruan sikapnya dan akan segera berlari menghampiri orang yang mencintai mereka. Hasilnya mereka akan mendapat kembali suasana penuh kedamaian dan ketenangan.