Mungkin ramai yang masih bercuti sempena Tahun Baru Cina ini. Ada yang balik kampung, ada yang melancong dan ada juga yang terperap di rumah.
Masing-masing punya alasan tersendiri mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan.
Tanpa sedar ramai dari kita tidak mahu bertanggungjawab tentang apa yang mereka lakukan. Katanya, kelakuan mereka adalah kerana tindakbalas dari perilaku orang lain atau situasi semasa.
Kehidupan umpama dipandu oleh suatu kuasa lain di luar diri kita. Banyak perkara yang kita terpaksa lakukan, demi meneruskan hidup, bukan dengan kemahuan yang sungguh. Terpaksa balik kampung, terpaksa pergi bercuti melancong dan terpaksa duduk terperap di rumah...
Dalam banyak hal kita melepaskan tanggungjawab menakhoda pelayaran kehidupan kita sendiri kepada sesiapa saja. Kepada isteri, anak-anak, majikan, kerajaan dan sebagainya.
Integriti kita tunggang langgang, di rumah lain, di tempat kerja lain, bersama kawan-kawan lain dan bila berseorangan sudah semestinya lain. Kita sorok integriti kita di antara satu sama lain. Bukan hipokrit, TERPAKSA!
Kita tidak pernah mengendahkan dialog dalaman diri. Tidak lansung beri perhatian dan tidak peduli ambil tahu dialog itu tentang apa.
Kita punyai lebih dari 50,000 dialog dalaman sehari semalam. Kebanyakannya kita biarkan 'sub-conscious' melayaninya.
Jangan lupa bahawa kehidupan kita hari ini adalah hasil dari dialog dalaman diri kita sendiri. Andainya kita bahagia, janganlah mengganggu dialog tersebut.
Sub-conscious telah mengambil alih kuasa untuk berdialog dan kita telah kehilangan kuasa. Kita rela walaupun derita.
Sub-conscious menentukan apa yang kita perlu rasa apabila sesuatu situasi berlaku. Rasa marah, kecewa, cemburu, takut, malu semuanya ditentukan secara otomatik.
Hasil dari dialog dalaman kita, sub-conscious membentuk PERSEPSI. Persepsi tentang segala hal yang dipandang oleh mata, didengar oleh telinga dan difikir oleh minda.
Adakah persepsi kita itu REALITI atau hanya semata-mata interpretasi minda yang dikawal oleh sub-conscious?
Selagi kita tidak mahu ambil alih dialog dalaman secara sedar dan mendidik sub-conscious supaya bertanggungjawab, selagi itulah kita hidup dengan TERPAKSA penuh dengan persepsi.
Ambil bahagian dalam dialog dalaman diri kita sendiri, setidak-tidaknya sehari sekali. Ambil tahu apa yang dibicara dan ke mana arah perbicaraan itu mahu dibawa.
Aku Adalah Aku! Semestinya kita perlu menjadi AKU yang sebenar untuk berdialog....