Showing posts with label Misc. Show all posts
Showing posts with label Misc. Show all posts

Tuesday, November 29, 2011

Aku Belum Mati


Usahlah cari aku,
Aku tiada di situ,
Aku tidak tidur.

Aku angin yang sepoi,
Aku permata yang pudar silau,
Aku matahari yang mengusangkan bijian.

Aku hujan renyai yang tidak basah,
Apabila kau terjaga di pagi yang sugul,
Akulah yang merenjis segar.

Aku burung terbang yang bisu,
Aku bintang yang bersinar malap.

Usahlah menangis di kuburku,
Aku tiada di situ,
Aku belum mati.....

Wednesday, August 03, 2011

Ramadhan Muncul Lagi

Ya Allah, sayangilah sahabat-sahabatku
Sehatkanlah keluarga mereka
Berkahilah rezeki mereka
Kuatkan iman mereka
dan berikan kenikmatan dalam berpuasa ramadhan...


Gersang bumi tanpa hujan
Gersang akal tanpa ilmu
Gersang hati tanpa iman
Gersang jiwa tanpa amal....

Marhaban ya Ramadhan!



Selamat menunaikan ibadah puasa.....

Thursday, July 07, 2011

Tobat Lagi



JIKALAU KAMU BERTOBAT
TETAPI SELALU TERGODA
DAN KAU LEMAH TIDAK KUAT
TOBAT LAGI HAI PENDOSA!

TOBAT DITERIMA TUHAN
KEMBALI LAGI KEMBALI
SAMPAI TOBATMU BERTAHAN
TOBATLAH BERKALI-KALI!

TUHAN TIDAK PERNAH MUNGKIRI....

Tuesday, March 29, 2011

What Do I Bring?

“Macamana nak bagi orang sediakan peluang dan ruang yang aku perlukan?

“Macamana nak bagi orang letakkan kemahuan aku sebagai perkara penting bagi mereka?

“Macamana nak bagi orang perkenalkan aku pada seseorang yang betul-betul boleh bantu aku?

“Macamana nak bagi orang hargai aku dengan ikhlas?

dan bla bla bla...


Aku faham...Dulu pun aku sering tertanya benda yang sama...

TETAPI aku sedar, semuanya salah...Lihat kembali pada soalan-soalan di atas...

Apakah ungkapan yang berulang dalam setiap soalan?

“Macamana nak bagi orang ...”

Kita perlu berhenti dari mengharapkan macamana nak bagi orang lain membuatkan hidup kita lebih baik dan lebih berjaya. Sebaliknya kita patut tanyakan diri kita sendiri soalan ini –

“What do I bring to the party?”

Perkara sebenarnya begini...

Aku tidak bermaksud menyuruh kita membawa hadiah, makanan atau sesuatu ke atas meja di setiap majlis...

PERBEZAANNYA ADALAH AMAT KETARA...

Apa yang kita bawa ke majlis adalah diri yang sebenar, hadiah semulajadi dan keupayaan...

Apa yang dibawa ialah siapa diri kita, bagaimana penampilan, bagaimana interaksi, aura yang diberi...

Mari bincang lebih sikit...

Aku tahu ramai orang yang bawa ber tan-tan barangan kemas ke majlis-majlis...

Aku juga tahu berlambak orang membawa kemegahan mereka ke majlis-majlis...

Ramai juga yang membawa ego kuasa dan kedudukan mereka...

Ada yang bawa kasta, ada yang bawa hidung menongkat siling...

Ada yang bawa dada kembang tertonjol...

Maksud aku mereka ini semuanya hebat dan punyai keupayaan tinggi dalam segala bidang...

Kuasa dan pengaruh mereka mungkin sehingga kita tidak akan tersangka mahupun percaya...

TETAPI...

Mereka tidak membawa apa-apa ke majlis...

Malah mereka tidak pun muncul dalam sesetengah majlis, dan bila mereka datang, mereka terlalu sibuk duduk memikirkan kenapa tidak ada orang yang perasan apa yang mereka bawa ke majlis ini. Lalu mereka terasa di pinggir, tidak selesa dan bosan — mereka sebenarnya mengkhianati apa yang mereka bawa ke majlis dengan tidak membawa apa-apa...

Jadi, tanyalah diri kita, what do I bring to the party?

p/s – mungkin ada yang tergaru-garu fikir, apa menatang yang Johan cuba bagitau ni... hehehe

Saturday, March 26, 2011

Bersediakah Kita?

Aku tidak mahu hipokrit dengan bertanyakan soalan yang sering ditanya orang. Soalan yang tidak banyak membawa makna. Soalan yang agak melugai didengar dan mengada-ngada....


Bersediakah kita bertemu Tuhan? Bersediakah dengan bekalan akhirat?




Soalan yang akan dipandang sepi, bukannya didengar, kecuali....


Penyakit bertandang


Umur sudah senja


Bencana menyergah!


Soalan yang ingin aku tanyakan....


Bersediakah kita jika bencana menyapu bersih segala yang ada di sekeliling?




Mampukah kita, berdayakah kita meneruskan hidup sepertimana Adam & Hawa tiba dari syurga dahulu?


Survival! Tanpa makanan, pakaian, rumah, kereta, bank mahupun kerajaan....


Api perlu dinyalakan dengan batu, garam dari laut, berteduh di gua, malah wang tiada nilai...


Relakah melihat anak-anak kelaparan bogel?


Lihat diri sendiri, dengan skil yang dimiliki sekarang, berupayakah kita?


Dont take for granted it wont happen!






Bersedialah.....

Friday, March 25, 2011

Melugai

Tiada niat pun aku aktif blogging untuk menghantam sesiapa.


Niat awal hanyalah untuk fokus kepada CINTA.


Apa agaknya yang telah terjadi?




Mungkin dunia sudah dipenghujung....


Gempa berlaku lagi beberapa minit lalu di Myanmar.


Malaysia?


Masih sibuk dengan video sex DSAI, RCI Beng Hock, Nazri vs MCA, Datuk T disoal 5jam, etc etc etc


Nampaknya, CINTA sudah luntur di Malaysia.


Aku tak mampu lelapkan mata.


Sel-sel otak bercelaru....




Sunyi


Duit


Anak-anak


Kahwin


Business


Oh...




Politik Malaysia?


Apa Najib buat?


Dah melugai...


Baca sendiri, Klik sini

Wednesday, March 23, 2011

Tenangkan Diri - Pikirkanlah

Kebanyakkan kita ditakdirkan lahir dalam keluarga Melayu dan sudah tentu Islam.

Alhamdulillah, Allah Maha Agung Maha Mengetahui mengurniakan anugerah paling tinggi kepada kita....

LAHIR SEBAGAI ISLAM!

Belum tentu kita akan kembali kepadaNya sebagai Islam.

Aku percaya bahawa keimanan orang Melayu terhadap Islam amat tinggi. Biarpun sejahil mana, sejahat mana, seputar alam mana, kaki botol, kaki pompuan, perompak, pembunuh, perogol, penzina, peragut, penagih.... Iman mereka tetap teguh. Ini dapat dibuktikan dalam banyak insiden. Contoh, andainya masjid dibakar, Islam dihina atau bangsa agama lain mempermainkan Islam, merekalah orang pertama yang keluar membawa senjata mempertahankan Islam.


Aku tidak hairan tentang keimanan orang Melayu di zaman kita ini, tetapi kegusaran aku bersandar dari pengalaman lalu... Semasa remaja sebagai Melayu Islam di kala usia kita belasan tahun, duapuluhan dan awal tigapuluhan, banyak perkara mungkar yang kita lakukan tanpa rasa was-was. Minum arak, pergaulan bebas, zina, judi dan berbagai lagi...

Alhamdulillah kita masih Islam, walaupun terlalu banyak perkara mungkar yang mungkin telah kita lakukan. Ada dosa kecil dan ada juga dosa besar, namun kita tetap Islam kerana semua dosa-dosa tersebut boleh diampuni oleh Allah jika kita bertaubat. Hanya satu dosa yang tidak diampuni Allah, SYIRIK! Sudah tiada jalan pulang... Umpamanya jika kita dahulu terjebak dengan dadah, kita sekarang sudah tidak berguna kepada keluarga, masyarakat dan agama.

Kebimbangan aku tentang Al-Kitab - Berita Baik, Bible Kristian berbahasa Melayu ini ialah kecenderungan remaja kita mentelaahnya dengan sifat ingin tahu sepertimana kita dahulu mencuba berbagai perkara mungkar. Janganlah membiarkan anak-anak kita terdedah kepada perkara yang boleh memesongkan akhidah dan hati terdetik untuk mensyirikkan Allah SWT.

Bertegaslah seperti mana ibubapa kita dahulu bertegas dengan kita dalam soal fardhu ain, akhidah dan moral.

Kita adalah penjaga dan pendokong agama Allah ini, perlulah mengambil tindakan yang proaktif. Bukan setakat membiar anak-anak menggunakan akal bijak mereka memilih yang terbaik. Sedarlah bahawa minda remaja sekarang lebih canggih dari minda kita dahulu, tetapi pandulah mereka ke landasan yang betul.

Tindakan membiarkan mereka membuat pilihan sendiri adalah satu tindakan yang amat bahaya kepada keturunan kita akan datang.

Allah is the only 'Great Keeper', namun usahlah kita hanya memeluk tubuh apabila agamaNya di ancam. 

Tuesday, March 22, 2011

Tak Hingin Jadi Melayu


Kata aku, "Smart people listen to their head, stupid people listen to their heart. Aku rela jadi bodoh, kerana hatiku milik Tuhan."

Ada juga orang Melayu yang tak hingin jadi Melayu. Mereka malu untuk mengaku Melayu. Mereka bangga mengkritik perakuan Melayu lain.

Mereka hanya mahu menjadi Islam.

Tetapi tanpa sedar, mereka sendiri menidakkan kekuasaan dan kebijaksanaan Tuhan mencipta manusia bersuku-suku dan berbangsa dengan menafikan kewujudan mereka dalam kelompok bangsa Melayu. Tidak mahu bersyukur bahawa dengan kudrat Allah, mereka dilahirkan dalam kelompok bangsa Melayu yang pada zahirnya Islam. Mereka boleh memperteguhkan Islam mereka setinggi mana pun jika mereka mahu, tanpa memperlekehkan jalur keturunan dan bangsa Melayu.

Islamkah kita kalau ditakdirkan kita lahir sebagai seorang Jepun, Yahudi, Serbia mahupun Arab?

Cuba fikir nukilan dari Tun Mahathir ini. Melayu Oh Melayu

Thursday, March 17, 2011

Keyakinan Cinta Luntur


Kecintaan kepada bangsa dan Agama telah luntur dalam pentadbiran kerajaan. Para ahli politik yang diberi mandat untuk mentadbir negara yang kononnya negara Islam telah menjadi dayus dalam mempertahankan prinsip-prinsip teras pembentukkan negara Malaysia.

Kebenaran menyebarkan Bible dalam Bahasa Melayu adalah satu kesilapan besar kerajaan dan dikatakan ianya mampu menyumbang kepada kejatuhan Barisan Nasional.

Isu tersebut sememangnya kecil, tetapi impaknya amatlah besar kepada generasi anak Melayu akan datang. Soalnya bukan tentang keimanan insan yang mengaku sebagai Islam, tetapi soal pintu pagar keutuhan Islam di Malaysia selama ini telah dibuka oleh penjaganya sendiri dan menjemput anasir luar masuk menggoncang iman kita. Itu bukan caranya hendak menguji tahap kekuatan Iman Melayu...

PAS menyokong bersama tekanan dari PKR. Idris Jala mendabik dada. Najib membisu. Hishamuddin terkial-kial. Mahathir akan mula menyalak. Mana pergi ulama'-ulama' kita yang handal tu? Jangan biarkan Tun Mahathir yang tiada lagi kepentingan melolong keseorangan...

Perlukah 35,000 naskah Bible untuk penganut Kristian di Malaysia yang rata-ratanya membaca dalam Bahasa Inggeris? Jadi, untuk siapa Bible tersebut kalau bukan tersirat dengan nyata untuk anak-anak Melayu?

Kita sedia maklum bahawa Kitab Al-Quran Bahasa Arab beserta terjemahan Bahasa Melayu yang berbelit-belit bukanlah pilihan utama anak muda kita untuk jadi bahan rujukan. Mana yang mereka akan pilih untuk membaca secara suka-suka atau pengkajian, Terjemahan Al-Quran Bahasa Indon/Melayu yang sukar difahami atau Bible yang semuanya berbahasa Melayu? Keinginan ingin tahu akan membuatkan mereka menyelak lembar-lembar dalam Bible tersebut walaupun tercetak di kulitnya "For Christian Only".


Allah Maha Mengetahui akan segalanya. Aku mohon perlindungan dariNya untuk semua generasi Melayu akan datang.

Semua manusia punyai pandangan dan perspektif berbeza, mereka akan menegakkan apa yang mereka fikir betul. Maka kita sendirilah yang perlu 'tepuk dahi tanya hati!'

Monday, December 13, 2010

Bad News

Salam semua kawan-kawan….

Maafkan saya jika apa yang akan diperkatakan ini nampak macam tidak masuk akal. Walaupun begitu, izinkan saya mengenengahkan pendapat bahawa ada kemungkinan kita semua sekarang ini telah di ‘brainwashed’ dan tanpa sedar bertukar menjadi musuh paling besar kepada diri kita sendiri.

Kenyataannya, keadaan inilah yang sedang terjadi ke atas berjuta manusia dan keberangkalian yang tinggi kita juga adalah antara mereka.

Apa yang saya bicara ini adalah tentang program ‘subliminal dan subconscious’ yang dialami setiap hari. Program yang ditanam ke dalam minda separa sedar tanpa pengetahuan kita.

Saya tidak mengusulkan bahawa ianya adalah satu konspirasi terancang untuk memprogramkan minda kita. Malah mereka yang menyebarkan mesej-mesej negatif ini juga tidak tahu apa yang mereka buat.

Masalahnya, kita amat terdedah kepada virus-virus minda ini dan kemungkinan kita dijangkiti adalah tinggi. Contohnya seperti kita terdedah kepada sisa kumbahan yang menyebabkan kita terkena berbagai kuman, bacteria, kulat dan berjenis penyakit. Membiarkan minda kita begitu terdedah kepada media-media akan membuatkannya dijangkiti banyak virus-virus perosak. Negara, syarikat dan masyarakat berbelanja berjuta ringgit untuk mempertahankan kita dari virus-virus biologi dan computer. Namun virus yang menjangkiti minda adalah lebih mudarat dan bahaya.

Salah satu cara yang boleh kita buat untuk mengelak dari virus minda ini ialah dengan berhenti dari mengikuti berita. Jangan tonton TV, jangan dengar ‘bualan’ radio, tinggalkan akhbar dan majalah yang ada berita di dalamnya.

Kenapa?

Kerana mereka berniaga mengaut keuntungan dengan menjual kerisauan, kebimbangan, kelemahan, keburukan, jenayah dan segala macam perkara negatif. Mereka faham bahawa hanya berita-berita negatif yang mendapat sambutan dan boleh dijual.


Bukalah kebanyakan akhbar, apa yang kita lihat 90% atau lebih adalah berita buruk dan negatif. Peratusannya tidak jauh beza dengan TV atau radio. Adakah anda percaya ianya amat penting untuk kita tahu berapa rumah yang terbakar, berapa orang kena ragut atau dirompak di Kuala Lumpur, Alor Setar atau di negara lain? Perlukan kita disogok dengan keadaan ekonomi setiap hari? Terdedah dengan semua berita-berita dalam perspektif negatif akan menciptakan pandangan negatif terhadap kehidupan dunia dan membentuk paten pemikiran yang negatif juga.

Semestinya ada yang berkata, “Bagaimana nak mengetahui jika berlaku trajedi dunia atau bencana menghampiri atau pengganas sedang menyerang jika tidak membaca berita? Percayalah! Kita akan tahu tentang semua perkara penting yang kita perlu tahu. Hadapilah kenyataan bahawa majoriti kawan-kawan, jiran dan saudara-mara mengikuti serta membaca berita untuk kita. Tidak mungkin kita mampu mengelaknya 100% kerana sekarang ini semua restoran, kedai, bas dan dataran dilengkapi TV sepanjang hari. Jadi, apabila ada sesuatu perkara besar berlaku, kita akan mengetahuinya.

Tanamkan semangat bahawa kita tidak mengikuti berita hanyalah kerana tidak mahu didedahkan dengan perkara-perkara buruk. Hidup kita hanyalah untuk mencipta perkara-perkara baik. Cuba elakkan berita-berita media dari hidup kita selama 30 hari dan lihat apa yang saya maksudkan.

Tuesday, November 23, 2010

Playboy 1962

Kadang-kadang gambar lama lebih mengujakan dan artistik jika dibandingkan dengan gambar-gambar zaman sekarang yang didakwa punya nilai seni yang tinggi.

Monday, November 15, 2010

Bencana & Hikmah

Bertanggungjawab! Tidak menyalahkan orang lain (juga diri sendiri), alam semesta atau Tuhan jika ketika ini keadaan tidak seperti yang kita inginkan. Kita perlu berkemampuan dengan kreatif menangani sebarang perkara yang kita anggap sebagai masalah dan mengubahnya menjadi benih-benih peluang.


Kesedaran ini akan memungkinkan terciptanya sesuatu yang baru atau terhasil situasi yang lebih indah. Terdapat banyak perkara yang dilalui dalam kehidupan ini yang mana pada permulaannya dianggap sebagai mengganggu, tetapi akhirnya menjadi guru dan penawar untuk kita terus berkembang maju.

Sekiranya kita sedang mengalami kepayahan, kesukaran dan kesempitan hidup, ingatlah kenyataan ini: 

"Ketika ini memang seharusnya begini kerana itu yang terbaik."

Terdapat makna yang tersembunyi dalam ungkapan tersebut untuk kita meneruskan hidup. Setiap kejadian yang diizinkan Tuhan untuk berlaku adalah sempurna tanpa cacat cela kerana Tuhan Maha Agung, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui..... Tetapi kita hanya gemar melihat kesempurnaan Tuhan dari keindahan. Keindahan matahari terbit dan terbenam, panorama pantai, kicauan burung, tawa riang, nyaman udara, kekayaan harta benda, ......... Jangan terlepas pandang, bencana alam banjir, gunung berapi, tsunami, gempa, kebuasan harimau, kelaparan, kemiskinan, ...... ada kesempurnaan! Itu tugas kreativiti kita untuk mencungkil dan mencari kesempurnaannya.
Ramai manusia hebat yang pernah kita kenali bukannya lahir dari mereka yang menyelusuri pantai melihat panorama, mengejar rama-rama di taman, atau bersukaria dengan harta keturunan, tetapi mereka muncul dari kepayahan hidup yang dilalui. Mereka dengan sabar mencari kesempurnaan ciptaan Tuhan dalam bencana, dalam kekalutan, dalam keperitan dan dalam segala macam dugaan. Mereka menerima seadanya dan memahami bahawa alam berfungsi atas dasar harmoni demi untuk keseimbangan.

Bersih hati tanpa ada hasad dengki!

Friday, October 08, 2010

Permudahkan Hidup

Mudahkah hidup ini? Sesetengah manusia menganggap hidup tidak mungkin dapat dipermudahkan kerana ia sememangnya rumit dan memerlukan tumpuan yang jitu jika mahukan kegembiraan dan kebahagian.

Walau apa pun halnya, kehidupan setiap dari kita adalah unik. Masing-masing punya tujuan dan prinsip hidup tersendiri. Namun ada juga manusia yang hidup bagai sabut yang tercampak ke sungai.

Ada yang berpendapat, jika dipermudahkan cara hidup kita, bererti kita melepaskan tanggungjawab, mengkhianati keluarga, menyakiti orang lain serta tidak memperdulikan resam masyarakat.

Jika tujuan hidup ini adalah untuk mengalami kebahagiaan, saya rasa memang mudah untuk dipermudahkan kerana alat yang perlu digunakan hanyalah hati dan minda. Maksud permudahkan hidup di sini adalah, menjalani kehidupan seadanya secara jujur dan fokus kepada mencari kegembiraan dan kebahagian. Lakukan apa yang mahu kita lakukan dengan ikhlas dan jujur tanpa ada rasa gentar dan tidak hipokrit. Bukannya berbelit dan berputar sehingga memeningkan kepala sendiri. Buangkan sindrom 'nanti apa orang kata', 'lagi banyak lagi baik' atau 'aku kena tunjuk bagus'. Syukur dengan apa yang kita ada  dan berusaha untuk apa yang kita mahu.

Mana yang lebih penting? Mempertahankan HAK atau mempertahankan KEBAHAGIAAN? Lepaskanlah sebahagian yang kita anggap hak demi untuk mengecapi kebahagiaan berpanjangan. Tiada gunanya kita memperolehi hak tetapi hidup menderita dan dijauhi saudara-mara dan rakan taulan.

Hiduplah atas dasar kreatif bukanya kompetitif atau sibuk berebut. Atas dasar kreatif hidup kita tidak akan membuat ada orang kecewa dan sakit hati dengan pencapaian. Walaupun akan tetap ada suara-suara sumbang mengkritik cara kita, namun 'clear conscience' membuatkan kita bahagia dengan kehidupan ini.

Wednesday, October 06, 2010

Ho'oponopono

Sering ada sesuatu perkara baru yang berlaku dalam hidup kita seharian. Adakalanya kita tertanya, mengapa perkara ini terjadi dalam hidup ku? Apakah hikmah dalam setiap kejadian itu? Hakikatnya adalah, hidup di dunia ini penuh dengan segala ketidak-pastian. Kita hidup dalam medan segala kemungkinan. Yang mengetahui hanya Allah swt. Redha dan tawakal memain peranan di sini.

Untuk menenangkan minda dan hati, ubatnya adalah 'bersyukur' kerana setiap yang terjadi adalah perkara terbaik sepatutnya terjadi.



Thank You

I love you

I am sorry

Please fogive me

Ungkapan di atas di gunakan oleh orang Hawaii semasa mereka mengadakan upacara Ho'oponopono setiap tahun. Upacara ini adalah untuk memohon keampunan dari alam di atas segala kesalahan yang dilakukan sepanjang tahun tersebut. Upacara ini juga adalah bagi mengurangkan hukuman alam (karma) kepada mereka sepanjang tahun berikutnya. They ask for forgiveness and it's work! Bagi kita umat Islam, kaedah ini berkesan jika kita amalkannya dengan berbalik kepada Allah. It's work for me... No harm to try.



Thank You Allah (Alhamdulillah)

I love You Allah (Hanya pada Mu tempatku menyembah)

I am sorry Allah (berilah aku keampunan; keimanan)

Please forgive me (Maafkanlah aku wahai para sahabat handai, rakan taulan, adik beradik dan sesiapa saja yang aku pernah temui)


Thank you my friends

I love you all my friends

I am sorry my friends (terhadap semua salah silap)

Please forgive me my friends (andai ada melukakan hati)

You like Thinking In English?

Friday, October 01, 2010

Oktober Datang Lagi

Hidup ini adalah medan segala kemungkinan, penuh dengan ketidakpastian. Oktober datang lagi. Banyak perkara-perkara yang kita andaikan setahun yang lalu atau sebulan yang lalu untuk terjadi pada bulan ini tidak juga jadi kenyataan. Hati resah, minda serabut, banyak kekusutan tidak terurai. Rutin harian semakin sibuk, berkejaran di serata pelusuk mencari pemangkin untuk memuaskan keinginan. 

Pernahkah kita berhenti sejenak menanyakan beberapa soalan kepada diri sendiri? Apa yang aku sibukkan seharian? Apa yang aku cari dan kejar sebenarnya? Apakah sebenar-benarnya keinginan aku? Setiap orang mempunyai jawapan masing-masing. Tidak ada jawapan yang salah, kerana hanya kita yang tahu tentang diri kita.

Tetapi jika jawapan kita berkisar sekitar pencapaian material jika dibandingkan dengan si polan si polan, maka kita punyai masalah yang tiada penghujung. Pencarian erti hidup begitu, tidak akan ada noktah. Kedamaian yang didambakan akan menyimpang dari singgah di hati kita. Hidup akan diselubungi perasaan bercampur-baur, rasa bebanan tanggungjawab, rasa mesti menegakkan hak, rasa bersalah, bongkak, tamak, berebut-rebut, semua orang tidak bertimbang rasa, rasa hanya kita yang betul, anak-anak kucar-kacir dan berbagai-bagai lagi yang menipiskan daya tahan diri. Bersamanya akan muncul banyak penyakit, rambut gugur, lutut lengoh, mata kelabu, darah tinggi, gaot dan segala macam masalah fizikal.

Andainya, material yang dikejar memberi pulangan mewah dan berbaloi, itulah modal kita untuk menangani masalah susulan yang timbul. Tetapi bagaimana pula jika hasil kejaran kita sekadar untuk teruskan hidup? Pulangannya tidak mampu untuk kita membiayai kos-kos yang mungkin muncul dari kemudaratan fizikal. Anak-anak terbiar dengan haluan masing-masing atau pun terjebak dengan fenomena keruntuhan sosial tanpa berupaya kita beri perhatian. Namun kita harus terima hakikat bahawa hidup ini penuh dengan segala kemungkinan dan jangan sekali-kali mempersoalkan ketentuan Tuhan. Why me?

Semalam adalah kenangan, besok adalah impian dan hari ini adalah anugerah!

Hargailah hari ini, kerana hanya hari ini kita mampu berbuat yang terbaik, bukan semalam dan bukan besok. Kita hanya mampu menggerakkan sesuatu hari ini, semalam dan esok hanya dalam bayangan.

Bagaimana kita mententeramkan hati dan minda untuk menerima seadanya?

Kita sambung lagi kemudian....

Click, if you like to Think In English.

Salam.