Showing posts with label CJ2. Show all posts
Showing posts with label CJ2. Show all posts

Thursday, March 31, 2011

10 Perkara Penting Membuat Lelaki Bahagia


1. Adalah penting mempunyai wanita yang rajin membuat kerja-kerja rumah

2. Adalah penting mempunyai wanita yang pandai memasak

3. Adalah penting mempunyai wanita yang suka mengemas & menghias rumah

4. Adalah penting mempunyai wanita yang berkarier


5. Adalah penting mempunyai wanita yang menyintai kita sepenuh hati

6. Adalah penting mempunyai wanita yang boleh menjadi sahahat karib

7. Adalah penting mempunyai wanita yang boleh membuat kita ketawa

8. Adalah penting mempunyai wanita yang boleh dipercayai dan tidak menipu kita

9. Adalah penting mempunyai wanita yang hebat di ranjang


10. Adalah amat amat penting sembilan wanita ini tidak kenal antara satu sama lain

Monday, March 28, 2011

Cinta Sentiasa Ada

Pada saat ini kita berada di sini
Tidak tahu pasal besok...

Walaupun kita jumpa atau tidak
Walaupun kita hidup atau tidak...

Cinta sentiasa akan ada di sini
Bumi dan awan akan ingat

Thursday, February 10, 2011

Rungkai Komplikasi

Fitrah cinta adalah kebahagiaan.

Fitrah cinta aalah damai.

Fitrah cinta adalah kebijaksanaan.

Fitrah cinta adalah Allah.


Idea tentang cinta telah disalahtafsir, disalahguna dan disalahbentuk dalam pembangunan sesuatu tamaddun sehinggakan minda masyarakat tamaddun tersebut menerima cinta sebegitu rupa. Jadi pembersihan dalaman tentang definasi cinta adalah kerja asas.

Cinta bukan agama tetapi cinta adalah perkara teratas yang paling praktikal dalam kehidupan manusia. Namun kita telah menyisihkan pendidikan yang berasaskan cinta ketepi atau mengucapkan tentang cinta hanya dibibir kerana kita tidak ada keyakinan kepada cinta.

Kerana kita tidak ada keyakinan pada Allah tentang cinta.

"A mind without Love is 'stupid'."

Kebenaran lambat-laun akan membebaskan kita, tetapi permulaannya akan membuatkan kita amat amat amat marah. Cinta dalam masyarakat kita telah diherotkan dari makna sebenar. Kita dihidangkan definasi cinta kabur melalu filem, iklan, drama dan semua media hiburan, serta memaksa kita percaya bahawa cinta adalah tarikan seks, pengorbanan, penyiksaan diri dan membiarkan diri jadi mangsa.

Percayalah, memenuhi fantasi yang digembar-gemburkan di media tidak akan memuaskan nafsu kita. Ia lebih menjurus kepada kelakuan yang lebih curang. Tidak kira berapa banyak harta, duit, seks, kuasa atau kemahsyuran yang kita kecapi, kebahagian tetap tidak kesampaian kerana ianya kosong dan palsu.

Cerita seorang orang tua yang hampir mati apabila ditanya tentang rahsia kebahagiaannya,
"Bertahun, berbelas tahun, malah berpuluh tahun saya merantau berkorban mencari apa yang orang kata boleh membahagiakan, namun sia-sia. Akhirnya saya ambil keputusan untuk bahagia tanpanya."

Kebahagian adalah 'state of mind', pilihan yang dibuat, bukannya memiliki harta benda atau pengawalan ke atas orang lain atau kuasa mengatur keadaan. Sensasi kekayaan dirasakan dapat mengisi kekosongan kebahagiaan.

Cinta jangan sekali-kali dianggap sebagai objek, kerana setiap objek ada jangka hayat. Apabila sampai masa ia sudah puas diguna, lalu dicampakkan ke tepi.

Jadi, apa sebenarnya makna CINTA?

Entah! Cinta tidak mampu didefinasikan dalam perkataan moden. Tidak mampu ditafsirkan oleh pemikiran moden sekarang ini. 

.....bersambung

Wednesday, February 09, 2011

Komplikasi Cinta

Konsep cinta sebenarnya adalah satu konsep yang sangat mudah. Konsep yang berlandaskan kepada keharmonian dan keselarasan. Kun Fa Ya Kun Allah SWT dalam alam semesta ini amatlah sempurna tanpa ada cacat cela di mana-mana. Asasnya adalah CINTA.

Cinta Allah kepada umatnya dilestari begitu indah dengan segala ciptaannya. Cuma kita yang tidak mahu membaca (iqra') hukum-hukum alam yang berfungsi dengan perimbangan yang indah. Kata Hamka, "Tidakkah kamu melihat kepada tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan? Ianya satu perkahwinan yang indah menghiasi alam."


Asal cinta dari Allah. Nikmat cinta hanya dapat dikecapi kerana Allah. Asas cinta hidup manusia adalah keyakinan kepada Allah.

Dapatkah kita yakin dengan janji-janji Allah dalam percintaan kita sesama manusia? Inilah persoalan yang tidak mahu dirungkai. Kita mahu merebut kuasa Allah dalam soal cinta.

Kita menetapkan syarat tersendiri untuk cinta. Kita tidak yakin kepada janji-janji Allah dalam soal percintaan. Kita mahu cinta berputar disekitar hati dan pemikiran kita, disekitar kemahuan dan keinginan kita, disekitar nafsu dan naluri kita dan disekitar falsafah hidup yang kita pegangi.

Kita mentafsir cinta hanya dari pandangan katak di bawah tempurung. Tidak mahu menerima penafsiran dari mata burung. Kita hanya merosakkan nilai murni cinta sebenar. Kita melumurkan cinta dengan cemburu, sakit hati, derita, airmata, dendam dan benamkannya ke kawah kesengsaraan.

Itu bukan fitrah cinta.

..... bersambung

Tuesday, February 08, 2011

Kenyataan 2

Adakah cinta boleh ditarik balik?
             Mungkin!


Cintaku bukannya hadiah
             Padamu...
Ianya anugerah
             Padaku...


Tanpa keluarga
             Ake keseorangan


Tanpa mu
             Aku kesunyian....

Monday, February 07, 2011

Mungkin Begini Adanya Aku

Kenyataan

Aku adalah aku
Kamu adalah kamu
Cinta kita adalah kita


Berhenti menyintai mu
Beerti....
          Berhenti menyintai ku


Di padang pasir
          Aku belajar tentang bahang panas


Di puncak gunung bersalji
          Aku mengerti apa itu kesejukan


Apabila kau pergi
          Aku faham erti keseorangan




Kenyataan kebenaran
Kita tidak dapat memberi cinta


Cinta itu bersyarat
Ada permulaan dan ada pengakhiran


Putaran
            Umpama bunga
Kembang dan akhirnya layu


Tidak juga seperti bunga
Cinta tidak boleh dipetik
             Dari seseorang
                         Dan diberi pula kepada orang lain




Disebabkan ada cinta
             Kita percaya
Dan dengan kepercayaan
             Kita cinta


Aku cintakan kamu


Aku tidak memberikan cinta
            Sebagai balasan atau cenderahati
Hanya wajar diberi
            Apabila
                          'Things are right'


Cinta kita
            Sememangnya ada
Atas
      Bawah
               Sekeliling
Senantiasa memeluk kita berdua



Monday, September 27, 2010

Cinta Johan (2) 6

Kita, penghuni masa yang penuh kebahagiaan ini, akan menyaksikan gelapnya makam kebencian dan kesedihan, diganti dengan fajar kecintaan. Kita sedang menyaksikan bangunnya cinta dan kasih. Jangan dikira hal ini sebagai sesuatu optimistik yang melampau atau berlebihan, bukti dari pengetahuan akan hakikat yang pasti bersinar terang andainya cinta mula berdetik di hati! Jangan biarkan hiruk-pikuk politik negara, kekalutan masyarakat dan kekeliruan keluarga mengelabui kita untuk tidak melihat hakikat itu. Kehidupan akan maju, tidak akan mundur. Ia akan berkembang, tidak layu. Cinta menongkah segala halangan.
Cuba perhatikan fenomena-fenomena yang berlaku dalam hidup kita selama ini. Kita akan dapati bahawa cinta adalah asas kepada setiap perkembangan kehidupan yang maju.
  • Ingin bertemu wanita/lelaki yang dicintai, kita akan berpakaian terbaik dengan wangian dan solekan.
  • Mahu diziarahi sahabat yang dicintai, kita akan menghias rumah bagaikan menyambut raja.
  • Mencintai pekerjaan, kita akan tekun dan bersungguh-sungguh.
  • Mencintai isteri, kita akan menjaga hati, membelai dan tidak curang.
  • Mencintai undang-undang, kita hormati dan mematuhinya.
  • Mencintai guru, kita akan mengamal ajarannya.
  • Mencintai negara, kita tidak akan pernah terfikir mahu mengkhianati atau memberontak.
  • Mencintai kehidupan, tidak akan ada dalam kotak fikiran untuk mensia-siakan begitu saja.

Thursday, August 05, 2010

Cinta Johan (2) 5

Manusia tahu dengan jelas bahawa cinta adalah jatidirinya dan inti kepada kewujudan sebagai makhluk berasal dari tanah. Manusia diciptakan untuk mencintai dan dicintai, menyatu dan disatukan. Manusia juga tahu dengan terang bahawa kebencian bukanlah api yang akan membakar ketentuan nasibnya, melainkan mematangkan bakat dan membuka potensi meletakkan cinta di persada yang betul. Manusia terus melangkah memperkayakan spiritual dengan hubungan-hubungan yang mendekatkan cinta sambil menjauhi benci.
Bumi yang disirami darah korban kebencian ditanami bunga-bunga cinta. Timbunan mayat-mayat para syuhada telah mengangkat manusia dari lumpur kebencian dan menjauhkannya dari kubang kebiadaban. Semua pengalaman pahit manusia yang dijilat api kebencian, dengan cinta berubah menjadi kekuatan yang handal dan garis hidup yang terang. Segala perubahan itu terlukis dalam dokumen kekal yang mendeklarasikan kehebatan cinta sehingga makin dekatnya kerajaan cinta dalam semua kehidupan. Manusia telah kenal kebenaran dan mula membuka mata dan mengakui bahawa cinta adalah nilai yang paling berharga dalam hidupnya. Maka di kala itu, ia tahu bahawa agama, tanahair, warna kulit, keturunan atau apa jua di dunia ini tidak dapat menyingkirkan cinta.
Muhyiddin ibn Al-Arabi mengungkapkan syair tentang hakikat cinta,
Sebelum hari ini, aku mengingkari kebenaran sahabatku
Kerana tidak ada yang dapat mendekatkan agamaku dengan agamanya
Kini, hatiku telah dapat menerima semua bentuk
Menjadi padang gembala bagi rusa
Asrama bagi para pendeta
Rumah bagi semua berhala
Kaabah bagi orang yang tawaf
Lembaran-lembaran Taurat dan mushaf Al-Quran
Aku sekarang memeluk agama cinta
Ke mana pun arah yang ditempuhnya
Cinta adalah agamaku dan keimananku.
(Hayatilah juga bait lirik lagu Laskar Cinta dari Dewa 19)

Tuesday, August 03, 2010

Cinta Johan (2) 4

Sesungguhnya, jiwa manusia punyai potensi untuk menimbulkan keluhuran naluri terhadap cinta, biar sekeras manapun kebencian melekat di hati mereka. Itulah sahaja potensi yang dapat melembut dan membendung kebencian. Cinta adalah fitrah dari Allah untuk setiap makhluk ciptaannya, baik yang bernyawa atau tidak. Cinta mampu menjadikan segala sesuatu sebagai sebab untuk bergantung, berharap dan akhirnya menyucikan.
Masa lalu, manusia bergantung harap kehidupan kepada bumi. Cinta mengikatnya sebagai jalan untuk meneruskan hidup dan majukan diri dan jiwa yang kasih. Cinta nampak sebagai hukum yang mengatur hubungan keluarga, mengikat suami dan isteri, ibubapa dan anak-anak, cucu-cucu dan jiran tetangga. Cinta juga mengikat kehidupan bermasyarakat, memainkan peranan sebagai pemangkin kesepakatan kampung, pekan, kota, daerah, negeri dan negara.
Cinta mencanangkan kewujudan harmoni manusia dan meluaskan jangkauan hikmahnya. Dia menutupi kebencian yang membusuk. Cinta perlukan perjuangan. Cinta adalah hukum sebenar-benarnya bagi meneruskan kewujudan alam ini.
Benar! Allah menciptakan alam ini atas dasar harmoni, cuma manusia diberi kebebasan memilih – tidak kepada makhluk lain yang tetap akur dengan hukum keharmonian itu. Tenaga graviti menjadi tiang kepada alam ini. Matahari, bulan, planet, bintang dan galeksi mengikat persefahaman yang harmoni agar saling berpautan membantu pergerakan. Bahkan masing-masing mempunyai karekteristik yang berbeza-beza – disatukan oleh daya tersembunyi sehinggakan mereka bekerjasama seakan-akan satu kesatuan dan bukan lawan melawan saling berhentakan.

Monday, August 02, 2010

Cinta Johan (2) 3

Selamat tinggal ‘benci’!
Ada kenyataan dan pertanyaan yang sering mengusik jiwa, “Allah telah menjadikan alam ini atas dasar harmoni. Jadi mengapa manusia punyai rasa saling membenci?”
Pada zaman awal kewujudan manusia, Habil dan Qabil telah berbunuhan kerana berebut wanita dan kurban salah seorang darinya tidak diterima Allah. Sejak dari situlah kegelisahan timbul dalam hati manusia. Maka muncullah rasa benci yang melenyapkan rasa cinta dalam sanubari manusia. Keresahan menusuk jiwa dan nilai kehidupan yang paling berharga mula hilang. Kehidupan mula meniti di atas bara benci. Maka, dari sanalah juga bermulanya pengorbanan-pengorbanan dari insan mulia mencari cinta agar dapat menenangkan jiwa dan hidup dengan rasa aman. Pengorbanan mencari cinta ini adalah pengorbanan mencari ‘hukum’ yang mengatur perjalanan kewujudan kehidupan agar menjamin kelansungan hasrat manusia yang hakiki.
Melalui putaran perjalanan masa yang sangat panjang, para Rasul, para Nabi, para Ulamak dan para penggerak pembaharuan mendendangkan lagu cinta dari dasar sanubari manusia. Mereka menjelajah menyingkap misteri sambil mencari hukum yang boleh mengatur kehidupan umat manusia agar menjadi lebih bermakna dalam perjalanan menuju dunia seterusnya. Realiti, bumi telah dilumuri darah manusia akibat hilangnya rasa cinta. Mereka dibunuh oleh kebencian yang mengembeleng seluruh kekuatannya. Kebencian telah musnahkan mereka sebelum sempat kebencian dibendungi. Setiap kali berita tentang bendera cinta mahu dikibar, maka dengan gah panji-panji kebencian dipacakkan dahulu. Warisan kehidupan rimba dengan suara-suara lantang menguasai bumi. Bagi mereka, cinta adalah sisi lemah manusia. Untuk terus hidup dan berkuasa, kekuatan lengan dan ketajaman taring adalah faktornya. Mereka dibajai api kebencian, egoism dan kesombongan. Umat manusia pun bercerai berai dan tenggelam dalam lumpur kebencian generasi ke generasi. Berlarutan dalam tempoh yang panjang sehingga tidak terhitung lagi jumlah korban akibat rasa benci. Kesempatan demi kesempatan digunakan oleh rasa benci untuk memusnahkan jiwa manusia. Akibatnya, semua hubungan saling memahami dan persaudaraan hilang begitu saja.

Sunday, August 01, 2010

Cinta Johan (2) 2

Kita juga patut terima bahawa betapa ramai orang yang menerima informasi secara tidak lansung ternyata lebih faham dari yang menerima secara lansung. Betapa ramai orang yang membaca buku lebih cerdas dari penulisnya. Betapa banyak kebaikan di muka bumi ini dimulakan oleh orang terdahulu, tetapi disempurnakan oleh orang yang terkemudian. Jika konsep ini dimengerti, maka kerjasama antara manusia amat ditagih untuk mewujudkan kebaikan. Walaupun buku-buku saya terdahulu beragam, namun hakikatnya satu tujuan. Dalam buku-buku itu terlihat maksud yang satu dan dari lembar-lembarnya tersusun tujuan yang mendesak. Mula hingga akhir menyogok idea supaya kita ikhtiar mengikis kelemahan sambil mengukuh jatidiri.
Saya tidak bermaksud menjadikan tulisan ini sebagai sebuah kitab ideal yang disorongkan tanpa mengira fitrah kebebasan manusia berfikir dan memilih. Tidak juga sebagai tulisan penglipur lara dalam bentuk dogengan seperti Harry Porter. Cukuplah tulisan ini setakat menjadi cuitan nurani kepada pembaca. Cuitan untuk membangunkan ‘Madinah Fadhilah’ bagi diri sendiri sesuai dengan kehendak dan pilihan masing-masing. Pernah seorang cendikiawan mendengar seorang lelaki berkata dengan nada penuh penyesalan, “Alangkah baiknya jika aku dapat bertemu seorang yang mahu mengajarku tentang kebaikan.” Lantas disampuk oleh cendikiawan tersebut, “Alangkah baiknya jika kamu berusaha dengan kemampuan yang ada pada dirimu untuk mencapai kebaikan.” Benar, setiap manusia punyai petunjuk dalam diri sendiri bagi mencapai kebaikan, jika itu yang didambakan. Adalah jauh lebih istimewa andainya diri kita menjadi ikutan, dipercayai dan disenangi tanpa perlu memperjelaskan apa-apa. Tingkah kita untuk kebaikan, tutur kita untuk kebaikan, janji kita untuk bawa kebaikan, minda kita fikir hanya untuk kebaikan, semata-mata bermotifkan kebaikan. Tiada perlu hebahan atau sidang akhbar, tiada perlu penjelasan serta alasan panjang lebar. Just Do It untuk kebaikan. Perkara ini ditekankan bukanlah bermaksud mengecilkan peranan mencari ilmu pengetahuan, tetapi sebaliknya mengangkat nilai kerja dan kepakaran keperingkat tinggi. Semoga tulisan ini lebih menjadi peringatan daripada sekadar penjelasan. Lebih menjadi pendorong dari sekadar penerangan. Tuan-tuan, saudara-saudara dan saya mungkin mampu melaksanakan semua peringatan ini. Tetapi mungkin juga berupaya sebahagiannya sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain. Bagaimana sekali pun kenyataannya, kita tidak boleh putus asa atau menjadikan kelemahan sebagai dermaga terakhir bahtera kehidupan berlabuh.

Saturday, July 31, 2010

Cinta Johan (2) 1

Mulakata
Saya bukanlah seorang ahli filosofi, bukan juga ahli psikologi, penasihat atau pengajar. Saya hanya seorang penulis biasa yang senantiasa mengharapkan kebaikan dari kehidupan. Oleh itu bila terdapat petunjuk tentang kebaikan, saya akan segera mempelajarinya sambil mengajak saudara-saudara untuk mendapatkannya. Jika ada kebaikan yang tidak mampu saya fahami sekalipun, saya amat gembira ditunjuki, diajari dan diajaki oleh sesiapa yang lebih mampu dan pakar dalam kebaikan tersebut. Saya bahagia bila dapat saling berbincang dan memotivasikan minda agar dapat menjadikan kebaikan sebagai satu agenda.
Kita mungkin dapat mengukur kemajuan atau keterbelakangan fikiran jika saling berbincang tentang isu-isu kebaikan. Lantas dari cuitan kebaikan itu, saya terjolak rasa untuk menatakan dalam lembar-lembar berikut ini beberapa idea yang isinya mungkin elok digunapakai dalam jaluran kehidupan.
Watak penulis lebih mendominasi diri saya membayangi watak pensyarah. Lantas saya gemar memaparkan kata-kata dan pendapat yang saya fikir benar serta bermanfaat kepada pembaca. Pembaca punyai lebih masa untuk berfikir dan menterjemahkan butiran tulisan melalui mata, berbanding pendengar yang kesuntukkan serta tergesa-gesa mentafsir menerusi telinga. Malangnya, majoriti umat lebih gemar gunakan telinga untuk menimba ilmu. Walau bagaimana pun, manusia harus tahu bahawa diri masing-masing adalah saling melengkapi umpama 'jigsaw puzzles' untuk kita lebih mengerti tentang gambaran kehidupan yang indah.

Friday, July 30, 2010

Mulanya Cinta Harmoni

Tujuan asal mengaktifkan blog ini sememangnya untuk membicarakan tentang cinta. Cinta yang dimaksudkan adalah cinta harmoni. Tulisan yang akan dipaparkan di sini mulanya adalah cadangan penghasilan sebuah buku. Mungkin 'stim' saya untuk menulis buku telah menurun akibat dari putaran alam tidak sepertimana keinginan di hati. Royalti tidak dibayar, cetakan bermutu rendah, penerbit menghilangkan diri dsb. Tapi itulah alam yang sempurna ini, setiap kejadian berlaku kerana ianya mesti berlaku samada kita suka atau tidak. Alam akan terus berfungsi mengikut 'hukum'nya tanpa terpengaruh oleh apa-apa. Tuhan Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi dan semuanya mengandungi hikmah. Jadi mulai sekarang saya ambil keputusan untuk berkongsi dengan para sahabat secara percuma... Samada tulisan saya ada isi atau tidak, itu terserah kepada para sahabat untuk mentafsirinya.
Takziah untuk sahabat karib saya, Encik Mohd Noor Ghazali dan keluarga di atas pemergian anakandanya yang tercinta. Semoga rohnya dirahmati Allah dan ditempatkan bersama para Muslimin yang terdahulu. Saya tidak sempat menziarahinya kerana hanya dimaklumkan sebentar tadi. Kita makin mengerti tentang kehidupan dan konsep 'Total Acceptance'. Kepada sahabatku (Mohd Noor), hikmah Allah tidak terhingga jika kita meyakininya!.