Mulakata
Saya bukanlah seorang ahli filosofi, bukan juga ahli psikologi, penasihat atau pengajar. Saya hanya seorang penulis biasa yang senantiasa mengharapkan kebaikan dari kehidupan. Oleh itu bila terdapat petunjuk tentang kebaikan, saya akan segera mempelajarinya sambil mengajak saudara-saudara untuk mendapatkannya. Jika ada kebaikan yang tidak mampu saya fahami sekalipun, saya amat gembira ditunjuki, diajari dan diajaki oleh sesiapa yang lebih mampu dan pakar dalam kebaikan tersebut. Saya bahagia bila dapat saling berbincang dan memotivasikan minda agar dapat menjadikan kebaikan sebagai satu agenda.
Kita mungkin dapat mengukur kemajuan atau keterbelakangan fikiran jika saling berbincang tentang isu-isu kebaikan. Lantas dari cuitan kebaikan itu, saya terjolak rasa untuk menatakan dalam lembar-lembar berikut ini beberapa idea yang isinya mungkin elok digunapakai dalam jaluran kehidupan.
Watak penulis lebih mendominasi diri saya membayangi watak pensyarah. Lantas saya gemar memaparkan kata-kata dan pendapat yang saya fikir benar serta bermanfaat kepada pembaca. Pembaca punyai lebih masa untuk berfikir dan menterjemahkan butiran tulisan melalui mata, berbanding pendengar yang kesuntukkan serta tergesa-gesa mentafsir menerusi telinga. Malangnya, majoriti umat lebih gemar gunakan telinga untuk menimba ilmu. Walau bagaimana pun, manusia harus tahu bahawa diri masing-masing adalah saling melengkapi umpama 'jigsaw puzzles' untuk kita lebih mengerti tentang gambaran kehidupan yang indah.
No comments:
Post a Comment
Amat menghargai pandangan anda..