Monday, December 13, 2010

Bad News

Salam semua kawan-kawan….

Maafkan saya jika apa yang akan diperkatakan ini nampak macam tidak masuk akal. Walaupun begitu, izinkan saya mengenengahkan pendapat bahawa ada kemungkinan kita semua sekarang ini telah di ‘brainwashed’ dan tanpa sedar bertukar menjadi musuh paling besar kepada diri kita sendiri.

Kenyataannya, keadaan inilah yang sedang terjadi ke atas berjuta manusia dan keberangkalian yang tinggi kita juga adalah antara mereka.

Apa yang saya bicara ini adalah tentang program ‘subliminal dan subconscious’ yang dialami setiap hari. Program yang ditanam ke dalam minda separa sedar tanpa pengetahuan kita.

Saya tidak mengusulkan bahawa ianya adalah satu konspirasi terancang untuk memprogramkan minda kita. Malah mereka yang menyebarkan mesej-mesej negatif ini juga tidak tahu apa yang mereka buat.

Masalahnya, kita amat terdedah kepada virus-virus minda ini dan kemungkinan kita dijangkiti adalah tinggi. Contohnya seperti kita terdedah kepada sisa kumbahan yang menyebabkan kita terkena berbagai kuman, bacteria, kulat dan berjenis penyakit. Membiarkan minda kita begitu terdedah kepada media-media akan membuatkannya dijangkiti banyak virus-virus perosak. Negara, syarikat dan masyarakat berbelanja berjuta ringgit untuk mempertahankan kita dari virus-virus biologi dan computer. Namun virus yang menjangkiti minda adalah lebih mudarat dan bahaya.

Salah satu cara yang boleh kita buat untuk mengelak dari virus minda ini ialah dengan berhenti dari mengikuti berita. Jangan tonton TV, jangan dengar ‘bualan’ radio, tinggalkan akhbar dan majalah yang ada berita di dalamnya.

Kenapa?

Kerana mereka berniaga mengaut keuntungan dengan menjual kerisauan, kebimbangan, kelemahan, keburukan, jenayah dan segala macam perkara negatif. Mereka faham bahawa hanya berita-berita negatif yang mendapat sambutan dan boleh dijual.


Bukalah kebanyakan akhbar, apa yang kita lihat 90% atau lebih adalah berita buruk dan negatif. Peratusannya tidak jauh beza dengan TV atau radio. Adakah anda percaya ianya amat penting untuk kita tahu berapa rumah yang terbakar, berapa orang kena ragut atau dirompak di Kuala Lumpur, Alor Setar atau di negara lain? Perlukan kita disogok dengan keadaan ekonomi setiap hari? Terdedah dengan semua berita-berita dalam perspektif negatif akan menciptakan pandangan negatif terhadap kehidupan dunia dan membentuk paten pemikiran yang negatif juga.

Semestinya ada yang berkata, “Bagaimana nak mengetahui jika berlaku trajedi dunia atau bencana menghampiri atau pengganas sedang menyerang jika tidak membaca berita? Percayalah! Kita akan tahu tentang semua perkara penting yang kita perlu tahu. Hadapilah kenyataan bahawa majoriti kawan-kawan, jiran dan saudara-mara mengikuti serta membaca berita untuk kita. Tidak mungkin kita mampu mengelaknya 100% kerana sekarang ini semua restoran, kedai, bas dan dataran dilengkapi TV sepanjang hari. Jadi, apabila ada sesuatu perkara besar berlaku, kita akan mengetahuinya.

Tanamkan semangat bahawa kita tidak mengikuti berita hanyalah kerana tidak mahu didedahkan dengan perkara-perkara buruk. Hidup kita hanyalah untuk mencipta perkara-perkara baik. Cuba elakkan berita-berita media dari hidup kita selama 30 hari dan lihat apa yang saya maksudkan.

Tuesday, November 23, 2010

Playboy 1962

Kadang-kadang gambar lama lebih mengujakan dan artistik jika dibandingkan dengan gambar-gambar zaman sekarang yang didakwa punya nilai seni yang tinggi.

Monday, November 15, 2010

Bencana & Hikmah

Bertanggungjawab! Tidak menyalahkan orang lain (juga diri sendiri), alam semesta atau Tuhan jika ketika ini keadaan tidak seperti yang kita inginkan. Kita perlu berkemampuan dengan kreatif menangani sebarang perkara yang kita anggap sebagai masalah dan mengubahnya menjadi benih-benih peluang.


Kesedaran ini akan memungkinkan terciptanya sesuatu yang baru atau terhasil situasi yang lebih indah. Terdapat banyak perkara yang dilalui dalam kehidupan ini yang mana pada permulaannya dianggap sebagai mengganggu, tetapi akhirnya menjadi guru dan penawar untuk kita terus berkembang maju.

Sekiranya kita sedang mengalami kepayahan, kesukaran dan kesempitan hidup, ingatlah kenyataan ini: 

"Ketika ini memang seharusnya begini kerana itu yang terbaik."

Terdapat makna yang tersembunyi dalam ungkapan tersebut untuk kita meneruskan hidup. Setiap kejadian yang diizinkan Tuhan untuk berlaku adalah sempurna tanpa cacat cela kerana Tuhan Maha Agung, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui..... Tetapi kita hanya gemar melihat kesempurnaan Tuhan dari keindahan. Keindahan matahari terbit dan terbenam, panorama pantai, kicauan burung, tawa riang, nyaman udara, kekayaan harta benda, ......... Jangan terlepas pandang, bencana alam banjir, gunung berapi, tsunami, gempa, kebuasan harimau, kelaparan, kemiskinan, ...... ada kesempurnaan! Itu tugas kreativiti kita untuk mencungkil dan mencari kesempurnaannya.
Ramai manusia hebat yang pernah kita kenali bukannya lahir dari mereka yang menyelusuri pantai melihat panorama, mengejar rama-rama di taman, atau bersukaria dengan harta keturunan, tetapi mereka muncul dari kepayahan hidup yang dilalui. Mereka dengan sabar mencari kesempurnaan ciptaan Tuhan dalam bencana, dalam kekalutan, dalam keperitan dan dalam segala macam dugaan. Mereka menerima seadanya dan memahami bahawa alam berfungsi atas dasar harmoni demi untuk keseimbangan.

Bersih hati tanpa ada hasad dengki!

Friday, October 22, 2010

Selingan Cinta

Hadirnya dalam hidupku
Tanpa duga tanpa pinta
Resah gelisah
Pintu hatiku diredah
Tanpa sedar aku izinkan

  
Kau yang bernama cinta
Kau yang memberi rasa
Kau yang ilhamkan bahagia
Hingga aku terasa indah

Tika bahagia mula menjelma
Keyakinan datang merasa
Kasih disalut dengan tawa
Namun aku tidak sempurna

Mencintai dirimu
Merindui dirimu
Memiliki dirimu
Akhir hayat bersamamu

Kau yang bernama cinta
Kau yang memberi rasa
Kau yang ilhamkan bahagia
Hingga aku terasa indah

Cinta
Aku rasa indah

Thursday, October 21, 2010

Kemelut

Tanpa sedar ramai dari kita mahu menjadi Tuhan. Tuhan yang mengatur perjalanan dunia dan kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Kita mahu menjadi Tuhan yang hanya mementingkan kebahagiaan dan kesenangan diri kita sahaja. Kita mahu segala-galanya berfungsi memenuhi keperluan perasaan, hati dan fizikal pada masa sekarang dan masa depan.

Tanpa kita sedar juga, itulah sebenarnya punca kepada ketidakbahagiaan hidup kita. Punca kepada kepayahan atau 'struggle' dalam menjalani kehidupan, punca kepada pergaduhan dan punca kepada peperangan. Kita menafikan kekuasan Tuhan yang sebenar, menafikan keAgunganNya, menafikan kebijaksanaanNya, memperlekehkan keadilan dan kasih sayangNya. Kita melenting sekiranya keadaan tidak seperti yang sepatutnya kita mahu, kita membenci andainya orang lain berperangai tidak seperti yang kita suka dan hati luka andai yang tersayang berkelakuan tidak seperti yang kita dambakan.

Hidup ini sebenarnya indah dan amatlah merugikan jika kita membazir waktu mahu mengambil-alih kuasa Tuhan. Kita hanya insan kerdil ciptaanNya. Layarilah hidup ini seadanya tanpa mencabar kredibiliti Tuhan. Setiap yang berlaku adalah perkara terbaik sepatutnya berlaku. Tidak ada faedahnya kita menggadai kebahagiaan hanya semata-mata kerana tidak faham apa yang berlaku. Sebaliknya kita sering membuat tafsiran dan anggapan yang liar hanya kerana apa yang berlaku tidak menyebelahi kita.

Malangnya aku memahami konsep ini hanya setelah berada dipenghujung kehidupan. Namun aku tetap bersyukur dengan anugerahnya yang membolehkan aku melihat dengan lebih terang dari mata hati. Aku jalani kehidupan seadanya, aku terima sesiapa saja, kerana aku tahu Tuhan Sebenar yang mengaturnya. Dia tahu apa yang terbaik untuk aku dan untuk keseimbangan ALAM. Andainya aku perlu merana untuk membuat lebih ramai manusia bahagia, aku pasrah! Jika aku perlu mati untuk kesinambungan hidup lebih ramai insan, aku rela! Hati dan perasaanku sudah tiada lagi perasaan kecewa, dan aku juga tidak lagi perlu menjelaskan kepada sesiapa tentang kesusahan, keperitan yang aku lalui. Aku tidak lagi boleh dipaksa memohon kelulusan dari sesiapa untuk aku lakukan apa yang aku rasa betul dan aku bertanggungjawab dengan segala tindakanku.

Aku digelar PENIPU, mungkiri janji, curang dan tuduhan-tuduhan keji oleh mereka yang ingin menjadi Tuhan. Aku dihukum dan dihina dengan berbagai kesalahan yang aku sendiri tidak pernah terbayang difikiran. Hanya kerana aku tidak memenuhi kriteria kehendak 'Tuhan' ini, hanya kerana aku tidak memberi penjelasan sebagaimana yang 'Tuhan' ini ingin dengar. Akhirnya 'Tuhan' ini merajuk dan aku menjadi sampah yang sudah tidak berguna lagi.

Fikiran dan perasaan seseorang adalah tanggungjawab masing-masing. Kita tidak mampu mengubah fikiran dan perasaan orang lain kerana ianya adalah kerja yang sia-sia. Andainya mereka mahu berubah, hanya mereka yang mampu.

"Ya Allah Ya Tuhan ku, hanya kepada Mu tempat aku menyembah dan hanya pada Mu tempat aku memohon. Ampunilah dosa-dosaku. Kurniakanlah petunjuk dan hidayah Mu untuk aku meneruskan kehidupan di bumi Mu ini. Jauhilah diriku dari segala masalah yang membebankan dan keluarkanlah diriku dari kesengsaraan hidup ini. Temukanlah aku dengan insan-insan yang terbaik untuk aku bersama. Permudahkanlah perjalanan hidupku pada hari ini, esok hari dan hari-hari seterusnya serta redhakanlah. Amin Ya Rabbal Alamin,,,"