Thursday, October 14, 2010

Permasalahan Dengan "Pengalaman"

"Jauh perjalanan luas pemandangan' adalah peribahasa yang dikaitkan dengan orang yang banyak pengalaman setelah sekian lama melalui liku-liku kehidupan di dunia ini. Adakah dengan pengalaman yang begitu banyak mampu membuat seseorang itu lebih bijaksana?
Secara am, kita menganggap begitu, tetapi realitinya orang yang berpengalaman mempunyai lebih banyak halangan untuk terus maju dalam mengendalikan hidup. Pengalaman kita lebih kepada menjadi penghadang daripada menyokong setiap tindakan yang mahu dibuat. Pertimbangan kita berpandukan kepada peristiwa dan kejadian yang telah kita lalui suatu ketika dulu. Kita lupa bahawa di ketika ini keadaan sudah berubah dan pengalaman lalu sudah tidak relevan lagi. Namun kita sering menggunakan pengalaman lalu itu sebagai 'benchmark' untuk kita membuat keputusan.

Kesannya amat serius, di mana kita akhirnya mengambil keputusan untuk tidak buat apa-apa dan akan ketinggalan.

Begitu juga dalam soal memberi nasihat kepada generasi muda. Sedarlah bahawa niat baik kita untuk menasihati mereka adalah sia-sia kerana akan hanya dipandang sepi. Contohnya, anak-anak akan jemu dan resah apabila ibubapa menasihati meraka dalam soal bagaimana menghadapi kehidupan ini. Sememangnya ibubapa berbuat begitu adalah kerana menyayangi anak-anak mereka, tetapi mereka lupa bahawa anak-anak telah melalui zaman kehidupan yang berbeza. Ada di antara nasihat-nasihat ibubapa, guru-guru dan saudara-mara yang boleh merosakkan perkembangan hidup anak-anak dan menghalang dari mempunyai sikap proaktif, teroka dan berhati bersih. Kebanyakan nasihat adalah berbentuk AWAS, menakut-nakutkan dan suruh kita bimbang selalu tentang orang sekeliling.

Sehari dua ini aku mengalami keadaan yang hampir serupa dengan seorang anak muda dan sehinggakan aku terlajak kata. Aku terngadah dan mula sedar akan ketelanjuran keterujaan untuk menasihati. Tindakbalasnya amat mengejutkan dan aku mula mengerti akan kebodohan sendiri dari pengalaman yang ada.

Kesimpulannya, simpan pengalaman kita untuk kenangan dan jangan beri nasihat atas dasar prihatin atau kerana sayang jika tidak diminta. Banyak lagi perkara lain yang boleh kita buat untuk menghabiskan sisa-sisa hidup ini. Andai tiada siapa mahu mendengar nasihat kita, pergi main golf adalah lebih baik!

Friday, October 08, 2010

Permudahkan Hidup

Mudahkah hidup ini? Sesetengah manusia menganggap hidup tidak mungkin dapat dipermudahkan kerana ia sememangnya rumit dan memerlukan tumpuan yang jitu jika mahukan kegembiraan dan kebahagian.

Walau apa pun halnya, kehidupan setiap dari kita adalah unik. Masing-masing punya tujuan dan prinsip hidup tersendiri. Namun ada juga manusia yang hidup bagai sabut yang tercampak ke sungai.

Ada yang berpendapat, jika dipermudahkan cara hidup kita, bererti kita melepaskan tanggungjawab, mengkhianati keluarga, menyakiti orang lain serta tidak memperdulikan resam masyarakat.

Jika tujuan hidup ini adalah untuk mengalami kebahagiaan, saya rasa memang mudah untuk dipermudahkan kerana alat yang perlu digunakan hanyalah hati dan minda. Maksud permudahkan hidup di sini adalah, menjalani kehidupan seadanya secara jujur dan fokus kepada mencari kegembiraan dan kebahagian. Lakukan apa yang mahu kita lakukan dengan ikhlas dan jujur tanpa ada rasa gentar dan tidak hipokrit. Bukannya berbelit dan berputar sehingga memeningkan kepala sendiri. Buangkan sindrom 'nanti apa orang kata', 'lagi banyak lagi baik' atau 'aku kena tunjuk bagus'. Syukur dengan apa yang kita ada  dan berusaha untuk apa yang kita mahu.

Mana yang lebih penting? Mempertahankan HAK atau mempertahankan KEBAHAGIAAN? Lepaskanlah sebahagian yang kita anggap hak demi untuk mengecapi kebahagiaan berpanjangan. Tiada gunanya kita memperolehi hak tetapi hidup menderita dan dijauhi saudara-mara dan rakan taulan.

Hiduplah atas dasar kreatif bukanya kompetitif atau sibuk berebut. Atas dasar kreatif hidup kita tidak akan membuat ada orang kecewa dan sakit hati dengan pencapaian. Walaupun akan tetap ada suara-suara sumbang mengkritik cara kita, namun 'clear conscience' membuatkan kita bahagia dengan kehidupan ini.

Wednesday, October 06, 2010

Ho'oponopono

Sering ada sesuatu perkara baru yang berlaku dalam hidup kita seharian. Adakalanya kita tertanya, mengapa perkara ini terjadi dalam hidup ku? Apakah hikmah dalam setiap kejadian itu? Hakikatnya adalah, hidup di dunia ini penuh dengan segala ketidak-pastian. Kita hidup dalam medan segala kemungkinan. Yang mengetahui hanya Allah swt. Redha dan tawakal memain peranan di sini.

Untuk menenangkan minda dan hati, ubatnya adalah 'bersyukur' kerana setiap yang terjadi adalah perkara terbaik sepatutnya terjadi.



Thank You

I love you

I am sorry

Please fogive me

Ungkapan di atas di gunakan oleh orang Hawaii semasa mereka mengadakan upacara Ho'oponopono setiap tahun. Upacara ini adalah untuk memohon keampunan dari alam di atas segala kesalahan yang dilakukan sepanjang tahun tersebut. Upacara ini juga adalah bagi mengurangkan hukuman alam (karma) kepada mereka sepanjang tahun berikutnya. They ask for forgiveness and it's work! Bagi kita umat Islam, kaedah ini berkesan jika kita amalkannya dengan berbalik kepada Allah. It's work for me... No harm to try.



Thank You Allah (Alhamdulillah)

I love You Allah (Hanya pada Mu tempatku menyembah)

I am sorry Allah (berilah aku keampunan; keimanan)

Please forgive me (Maafkanlah aku wahai para sahabat handai, rakan taulan, adik beradik dan sesiapa saja yang aku pernah temui)


Thank you my friends

I love you all my friends

I am sorry my friends (terhadap semua salah silap)

Please forgive me my friends (andai ada melukakan hati)

You like Thinking In English?

Friday, October 01, 2010

Oktober Datang Lagi

Hidup ini adalah medan segala kemungkinan, penuh dengan ketidakpastian. Oktober datang lagi. Banyak perkara-perkara yang kita andaikan setahun yang lalu atau sebulan yang lalu untuk terjadi pada bulan ini tidak juga jadi kenyataan. Hati resah, minda serabut, banyak kekusutan tidak terurai. Rutin harian semakin sibuk, berkejaran di serata pelusuk mencari pemangkin untuk memuaskan keinginan. 

Pernahkah kita berhenti sejenak menanyakan beberapa soalan kepada diri sendiri? Apa yang aku sibukkan seharian? Apa yang aku cari dan kejar sebenarnya? Apakah sebenar-benarnya keinginan aku? Setiap orang mempunyai jawapan masing-masing. Tidak ada jawapan yang salah, kerana hanya kita yang tahu tentang diri kita.

Tetapi jika jawapan kita berkisar sekitar pencapaian material jika dibandingkan dengan si polan si polan, maka kita punyai masalah yang tiada penghujung. Pencarian erti hidup begitu, tidak akan ada noktah. Kedamaian yang didambakan akan menyimpang dari singgah di hati kita. Hidup akan diselubungi perasaan bercampur-baur, rasa bebanan tanggungjawab, rasa mesti menegakkan hak, rasa bersalah, bongkak, tamak, berebut-rebut, semua orang tidak bertimbang rasa, rasa hanya kita yang betul, anak-anak kucar-kacir dan berbagai-bagai lagi yang menipiskan daya tahan diri. Bersamanya akan muncul banyak penyakit, rambut gugur, lutut lengoh, mata kelabu, darah tinggi, gaot dan segala macam masalah fizikal.

Andainya, material yang dikejar memberi pulangan mewah dan berbaloi, itulah modal kita untuk menangani masalah susulan yang timbul. Tetapi bagaimana pula jika hasil kejaran kita sekadar untuk teruskan hidup? Pulangannya tidak mampu untuk kita membiayai kos-kos yang mungkin muncul dari kemudaratan fizikal. Anak-anak terbiar dengan haluan masing-masing atau pun terjebak dengan fenomena keruntuhan sosial tanpa berupaya kita beri perhatian. Namun kita harus terima hakikat bahawa hidup ini penuh dengan segala kemungkinan dan jangan sekali-kali mempersoalkan ketentuan Tuhan. Why me?

Semalam adalah kenangan, besok adalah impian dan hari ini adalah anugerah!

Hargailah hari ini, kerana hanya hari ini kita mampu berbuat yang terbaik, bukan semalam dan bukan besok. Kita hanya mampu menggerakkan sesuatu hari ini, semalam dan esok hanya dalam bayangan.

Bagaimana kita mententeramkan hati dan minda untuk menerima seadanya?

Kita sambung lagi kemudian....

Click, if you like to Think In English.

Salam.

Monday, September 27, 2010

Cinta Johan (2) 6

Kita, penghuni masa yang penuh kebahagiaan ini, akan menyaksikan gelapnya makam kebencian dan kesedihan, diganti dengan fajar kecintaan. Kita sedang menyaksikan bangunnya cinta dan kasih. Jangan dikira hal ini sebagai sesuatu optimistik yang melampau atau berlebihan, bukti dari pengetahuan akan hakikat yang pasti bersinar terang andainya cinta mula berdetik di hati! Jangan biarkan hiruk-pikuk politik negara, kekalutan masyarakat dan kekeliruan keluarga mengelabui kita untuk tidak melihat hakikat itu. Kehidupan akan maju, tidak akan mundur. Ia akan berkembang, tidak layu. Cinta menongkah segala halangan.
Cuba perhatikan fenomena-fenomena yang berlaku dalam hidup kita selama ini. Kita akan dapati bahawa cinta adalah asas kepada setiap perkembangan kehidupan yang maju.
  • Ingin bertemu wanita/lelaki yang dicintai, kita akan berpakaian terbaik dengan wangian dan solekan.
  • Mahu diziarahi sahabat yang dicintai, kita akan menghias rumah bagaikan menyambut raja.
  • Mencintai pekerjaan, kita akan tekun dan bersungguh-sungguh.
  • Mencintai isteri, kita akan menjaga hati, membelai dan tidak curang.
  • Mencintai undang-undang, kita hormati dan mematuhinya.
  • Mencintai guru, kita akan mengamal ajarannya.
  • Mencintai negara, kita tidak akan pernah terfikir mahu mengkhianati atau memberontak.
  • Mencintai kehidupan, tidak akan ada dalam kotak fikiran untuk mensia-siakan begitu saja.