Thursday, July 16, 2009

Cinta Johan 12

Jadi, apakah cinta itu? Ia adalah aktiviti ceria yang membahagiakan jiwa untuk melestarikan wujudnya cinta. Ia adalah keinginan-keinginan kita yang menyenangkan dan saat-saat berlalu tanpa beban. Maknanya, cinta datang dari dalam jiwa kita sendiri. Bagaimana mungkin kita boleh mencintai orang lain jika kita tidak mencintai jiwa dan diri kita sendiri. Keinginan kita datang dari hati dan apabila kita mencintai apa yang diinginkan, segala kepayahan untuk mendapatkannya merupakan kesulitan yang menyenangkan. Bila hasrat tercapai, rasa bahagia memenuhi ruang diri. Jadi, cintailah diri sendiri. Egoistik bukanlah cinta sejati, ianya fanatik, desperate dan penipuan. Sedangkan cinta mempunyai nilai toleransi, memahami dan membantu. Jangan sekali-kali membenci diri di atas apa yang terjadi. Orang yang membenci diri akan berubah menjadi letupan-letupan yang sering mencari gaduh. “Bagaimana aku mahu mencintai diriku sendiri?” Kita hanya perlu mengembangkan cinta yang sememangnya telah dianugerahkan Tuhan kepada setiap makhluk. Kita hanya perlu memelihara cinta kepada diri sendiri sepertimana ibubapa memelihara anak-anak dan tukang kebun memelihara keindahan taman dengan bunga-bunganya. Perkara pertama yang harus kita tahu ialah ‘nilai diri’. “Apakah nilai diriku ini?” Kita adalah orang yang baik. Betapa banyak kesilapan dan kekurangan, kita tetap manusia yang baik. Sekalipun kita tidak baik tetapi dalam diri terdapat keinginan untuk menjadi lebih baik dari masa lalu, sudah cukup untuk kita. Potensi-potensi buruk yang terpendam sering berkembang menghalangi potensi-potensi kebaikan tanpa henti. Namun nun jauh dalam sanubari, selalu ada kecenderungan kepada kebaikan, kerinduan kepada kesempurnaan. Usaha yang kadang berhasil dan saban jua gagal. Maka janganlah menghina diri kerana kekurangan yang ada. Ajaklah diri berbincang tentang kesilapan lalu, tetapi jangan menghina diri. Cari jalan menjauhi keburukan, tetapi jangan menindasnya. Sebab kita dapati ramai yang menyimpan rasa permusuhan dan kebencian, mendapat semua itu dari kerosakkan jiwa mereka sendiri yang dibenci dan ditindas. Jika ingin memperolehi kedamaian dan persahabatan sejati, mulailah dengan memberikan jiwa sendiri kedamaian dan persahabatan.

Saturday, July 11, 2009

Cinta Johan 11

Keistimewaan cinta paling utama adalah kemampuan membuat orang lain percaya dan merasa tenang dengan diri kita. Cinta kita kepada orang lain tidak akan sia-sia kerana lambat laun cinta kita akan dipercayai dan disenangi. Harungilah kehidupan dengan cinta bersama jiwa yang agung. Setelah kita menyedari itu semua, bagaimana kita mahu menjadi orang yang penuh dengan cinta? Cintailah jiran tetangga mu, cintailah saudara-saudara mu, cintailah kedua orang tua mu, cintailah alam. Semuanya benar belaka. Namun yang paling utama dan penting ialah “Cintailah diri sendiri!” Cinta selamanya, sedalamnya dan sebenar-benarnya. Jika kita tidak mampu mencintai diri sendiri, mana mungkin kita mampu mencintai dan dicintai orang lain. Orang yang mencintai dirinya akan mencintai dan dicintai kawan-kawannya. Benarlah kata Plato, “Persahabatan yang paling sukar dan paling berat dijalin oleh seseorang adalah persahabatan dengan dirinya sendiri.” Amatlah malang jika kita menganggap cinta kepada diri sendiri itu adalah ego dari perspektif wang dan harta benda. Ianya adalah satu kezaliman pada diri sendiri.

Monday, July 06, 2009

Cinta Johan 10

Jika kita mencintai manusia dengan benar, mereka tidak sekali-kali akan membalas dengan kebencian. Kekadang ada juga perkara sebaliknya berlaku, tetapi kemudiannya mereka akan kembali dengan membawa hati penuh cinta. Ini adalah kerana orang yang membenci orang yang mencintainya hanyalah terdorong oleh perasaan bahawa dirinya lebih istimewa. Cinta kita dibalas dengan kebencian. Kita ingin mengangkat darjat mereka, tetapi mereka sengaja terperuk dalam kerendahan dan kehinaan. Mereka bersikap seperti beberapa umat Nabi terdahulu yang mengatakan, “Keluarkanlah mereka (Nabi dan pengikutnya) dari kampung kalian, kerana mereka asyik menyucikan diri!” Ingatlah bahawa, ketinggian moral akan melindungi diri. Dengan itu, orang yang membenci orang yang mencintai mereka akan segera mengetahui kekeliruan sikapnya dan akan segera berlari menghampiri orang yang mencintai mereka. Hasilnya mereka akan mendapat kembali suasana penuh kedamaian dan ketenangan.

Thursday, June 25, 2009

Cinta Johan 9

Terbukti, runtuhnya Genghis Khan dan luhurnya Buddha. Tumbangnya bendera Napoleon Bonaparte dan berkibar panji Louis Pasteur. Hancurnya Hitler mensucikan Ghandi. Sejarah tidak berpihak kepada kekuatan dan kekuasaan (terutama yang korup dan zalim), tetapi pada jiwa-jiwa yang punyai harga diri memperjuangkan cinta dan kebenaran. Sejarah tidak lagi mengagungkan para pahlawan tentera atau politik, tetapi mengangkat para pahlawan dibidang kemanusiaan yang memerangi perpecahan untuk menyatukan umat manusia dari unsur-unsur perbezaan.
Sejarah tidak pernah menabur bunga di atas pusara mereka yang menindas sesama manusia, tetapi menyirami mawar pada pusara mereka yang mengorbankan jiwa demi kemanusiaan. Jika kita berkobar rasa cinta dalam hati demi orang lain, maka hati kita tidak akan dijadikan tempat penghinaan dan penentangan. Marilah kita belajar hidup bersama orang yang berjiwa besar dengan penuh rasa cinta.
Orang yang selalu ikhlas mencintai, tidak akan pernah menyerah kepada kemungkaran, tidak akan hancur dan tidak akan musnah.
• Orang yang menanam kebencian akan menuai permusuhan.
• Orang yang menyemai cinta pasti akan menuai kehidupan yang indah.
Takar ukuran tersebut benar-benar sempurna. Kedua-duanya tidak akan berubah walau apa pun terjadi. Ianya adalah Hukum Alam.

Tuesday, June 23, 2009

Cinta Johan 8

Apasaja usaha kita untuk mencapai cinta kasih, ianya tidak akan menjadi usaha yang sia-sia. Kita tidak sendirian, ada jutaan umat manusia seperti kita yang tersebar seluruh pelusok dunia yang memegang obor cinta dengan membawa sinar terang. Hati mereka penuh dengan perasaan cinta yang tulus, berbicara dengan bahasa cinta, berjalan di bawah payung cinta dan hari-hari mereka diisi dengan cinta. Mungkin kita tidak pernah bertemu dan kenal mereka serta kita juga berada dalam jarak yang jauh dari mereka. Namun kehendak kita satu, mengubah unsur-unsur perbezaan menjadi satu kesatuan. Itulah fundamental utama kehidupan yang kita nantikan. Marilah kita bangkit mengambil tempat di antara manusia-manusia yang berhati besar!
Janganlah berprasangka buruk terhadap persekitaran kita dan jangan pula menganggap diri seperti ‘seekor burung di antara gagak-gagak’ atau seperti Nabi Salleh di tengah kaum Tsamud’. Jika kita harus berhati besar penuh dengan rasa cinta, gagak-gagak berbentuk manusia tadi akan lenyap dan taman indah hanya dihuni burung-burung yang berkicauan merdu.
Kehidupan akan terbuka luas dengan penuh kasih sayang. Kehidupan tidak lagi tunduk hormat kecuali kepada perjuangan-perjuangan untuk kebaikan. Kemegahan yang dahulunya dibina dengan penindasan, pencerobohan dan penyebaran rasa benci telah pun diturunkan dari tahta sejarah. Sejarah kini menjulang orang yang berhati suci, berjiwa besar, merantau untuk bina kebaikan dan memberi kegembiraan kepada umat dengan cinta kasih.