Wednesday, June 03, 2009

Mulanya Cinta Harmoni

Tujuan asal mengaktifkan blog ini sememangnya untuk membicarakan tentang cinta. Cinta yang dimaksudkan adalah cinta harmoni. Tulisan yang akan dipaparkan di sini mulanya adalah cadangan penghasilan sebuah buku. Mungkin 'stim' saya untuk menulis buku telah menurun akibat dari putaran alam tidak sepertimana keinginan di hati. Royalti tidak dibayar, cetakan bermutu rendah, penerbit menghilangkan diri dsb. Tapi itulah alam yang sempurna ini, setiap kejadian berlaku kerana ianya mesti berlaku samada kita suka atau tidak. Alam akan terus berfungsi mengikut 'hukum'nya tanpa terpengaruh oleh apa-apa. Tuhan Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi dan semuanya mengandungi hikmah. Jadi mulai sekarang saya ambil keputusan untuk berkongsi dengan para sahabat secara percuma... Samada tulisan saya ada isi atau tidak, itu terserah kepada para sahabat untuk mentafsirinya.
Takziah untuk sahabat karib saya, Encik Mohd Azhar Zamri dan keluarga di atas pemergian bapanya yang tercinta pada pagi ini. Semoga rohnya bersama para Muslimin yang terdahulu. Saya sempat menziarahinya di perkuburan dan makin mengerti tentang kehidupan dan konsep 'Total Acceptance'. Kepada sahabatku (Matzad), hikmah Allah tidak terhingga jika kita meyakininya!.

Tuesday, June 02, 2009

Adakah ini cinta?

Keghairahan begini membuat manusia buta segalanya. Akal, hati dan jiwa. Tetapi tanpa ini, hidup bagai lembah tandus kerana ianya adalah fitrah anugerah Ilahi. Memburu aksi begini tanpa cinta sejati umpama terlebih belacan atau budu di dalam sambal. Bau yang lekat di tangan memualkan.

Monday, June 01, 2009

Ingin Menjadi Tuhan?

Berapa kerap kita mengatakan kita yang sering betul?
Klik gambar di atas.

Di mana letaknya CINTA

Mungkinkah ada cinta di sebalik wajah yang garang? Wujudkah cinta di celah-celah tingkahlaku yang kasar? Bersemikah cinta dengan kata-kata yang tiada sopan? Jangan kita tertipu dengan penampilan luaran. Cinta tidak semestinya hadir dari wajah yang tampan ayu, tidak juga dari lemah gemalai atur langkah atau santunnya bahasa berbunga. Untuk mendapat intan permata kita perlu berselut menggali, bukan mengejar rama-rama di taman. Cinta hadir tanpa boleh dipaksa-paksa atau diunjuk-unjuk. Cinta perlu dibenihkan, disiram, dijaga dan sabar. Tanpa sabar, buah cinta mungkin berulat dan gugur sebelum dapat dipetik. Sedarilah bahawa Cinta Agung terbit dari bencana, bukan dari sepoi bayu yang mengiringi indahnya terbenam matahari. Mekar dari lahar gunung berapi, bukan dari kata pujangga siulan burung.... Hati kita milik Tuhan, kepadaNya lah kita berdoa, berharap dan berserah. Moga terbuka rasa cinta di hati para sahabat sekelian. Salam sayang!

Cinta yang belum kesampaian

Salam untuk semua sahabat. Maaf jua ku pinta andai permulaan blog ku menyakitkan hati. Hampir setahun lamanya Cinta Johan tersadai tanpa digilapi dengan bunga-bungaan, tanpa dibelai dan tanpa disiram haruman. Apakan daya tuntutan hidup mengheretku ke lembah yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Cintaku longlai layu tanpa perhatian. Pengembaraanku ke lembah nestapa sudah berakhir, kini aku tiba di permatang yang indah dan permai. Mungkin di permatang ini Cinta Johan akan bersemi kembali setelah sekian lama terdamba. Aku tahu dan yakin Tuhan Maha Penyayang. Setiap dugaan yang aku tempuhi adalah kerana Dia sayang padaku. Dia tahu, dugaanNya akan termampu ditanggung olehku. Dia tidak akan sekali-kali memberi dugaan yang tidak tertanggung. Aku sedar akan Maha Pemurahnya Dia serta Maha Bijaksananya Dia. Dia tahu akan segalanya, fikiranku, hatiku dan tingkahku. Maka sekarang baru aku sedar bahawa; "Setiap yang berlaku adalah perkara terbaik yang sepatutnya berlaku." Harap-harap sahabatku semua akan menjengok sekali sekala ruang sunyi Cinta Johan ini agar tercuit semangatku untuk terus berkarya bersama. Salam Sayang....